| Universiti Putra Malaysia

UPM hasilkan inovasi Probiotik Futuristik bantu penjagaan kesihatan usus manusia

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang 

SERDANG, 2 FEB – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan Probiotik Futuristik iaitu inovasi makanan dan suplemen kesihatan yang membantu memberikan kebaikan kesihatan usus manusia.

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Foo Hooi Ling berkata Probiotik Futuristik ialah bahan metabolit probiotik dikenali sebagai postbiotik yang memberikan kesan kebaikan kesihatan yang konsisten berbanding kesan kebaikan kesihatan sel hidup probiotik yang sering tidak stabil dan tidak konsisten.

“Postbiotik adalah probiotik futuristik pengganti sel hidup probiotik sebagai suplemen kesihatan.

“Postbiotik juga menjalankan fungsi memulih, menambahbaik dan mengekalkan keseimbangan mikrobiota usus dengan menyokong pertumbuhan bakteria baik probiotik yang sedia ada dalam usus dan menindas pertumbuhan bakteria tidak baik atau patogen dalam usus kita,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah Jabatan Teknologi Bioproses, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB) UPM berkata keseimbangan mikrobiota usus amat penting untuk keadaan usus yang sihat bagi setiap individu serta mendorong kesihatan badan secara keseluruhan.

Katanya, menerusi produk ini akan memberi kesan kesihatan yang konsisten kerana membantu mengekalkan microbiota usus yang seimbang dalam jangka masa yang lama.

“Produk ini merupakan suplemen yang selamat untuk diambil bahkan jangka hayat produk postbiotik ini lebih stabil dan jangka masa penyimpanan juga lebih panjang pada suhu bilik.

“Selain itu, kelebihan inovasi ini memberi risiko rendah kepada pesakit bermasalah imuniti seperti pesakit AIDS dan pesakit di dalam keadaan rawatan perubatan rapi di unit rawatan rapi atau unit rawatan intensif yang perlu rawatan perubatan rapi,” katanya.

Menerusi penyelidikan ini beliau berkata akan meningkatkan kepentingan industri bioteknologi malah menunjukkan keperluan serta fungsi penyelidikan di FBSB

Produk ini telah dipasarkan menerusi kolaborasi syarikat My Myracle Sdn. Bhd. dan hasil kerjasama penyelidik UPM juga membantu syarikat membina fasiliti lengkap bagi meningkatkan lagi pengeluaran produk postbiotik ini. -UPM

SXDdTA7~