UPM Hasilkan 753 Botol Pensanitasi Tangan (Sanitizer) Cegah COVID-19 | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM hasilkan 753 botol Pensanitasi Tangan (Sanitizer) cegah COVID-19

UPM hasilkan 753 botol Pensanitasi Tangan (Sanitizer) cegah COVID-19

 

Oleh: Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 31 Mac – Sekumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil inisiatif menghasilkan 700 produk pensanitasi tangan untuk mencegah penyebaran virus Covid-19 dengan menggunakan formulasi gel lidah buaya.

Menurut Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr. Mohd Razif Harun, proses penghasilan produk pensanitasi tangan di Makmal Perisian Bahan, Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan itu tercetus berikutan jangkitan virus Covid-19 yang melanda negara dan pensanitasi sangat sukar diperoleh di pasaran.

“Selain gel lidah buaya, produk itu menggunakan air ternyah ion, alcohol ternyah asli dan minyak pati semula jadi seperti minyak pati lavender, lemon, campuran pati minyak semulajadi, peppermint dan minyak kayu (tea tree). Minyak tersebut ditambah di dalam campuran ini kerana berpotensi melawan bakteria dan kuman serta menghalang jangkitan.”

“Produk UPM ini sesuai untuk kegunaan orang ramai. Ia telah teruji di makmal UPM dan terbukti boleh membasmi kuman dan mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pasukan kami berjaya mengeluarkan sebanyak 703 botol kandungan 30ml dan 50 botol bagi kandungan 300ml. Jumlah pengeluaran ini adalah berdasarkan permintaan dan kesediaan bahan mentah.

“Cuma buat masa ini, kami telah menghentikan operasi pengeluaran kerana telah menggunakan semua peruntukan yang diberi dan fasiliti sedia ada. Sekiranya ada pihak luar yang ingin mengkomersilkan produk ini, kami amt mengalu-alukan kerja sama ini kerana ia memerlukan peruntukan, staf sepenuh masa dan fasiliti yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof. Ir. Ts. Dr. Nor Kamariah Nordin berkata usaha kumpulan tersebut sekurang-kurangnya dapat mengurangkan saingan permintan pensanitasi tangan yang amat berkurangan di pasaran negara.

Katanya kumpulan pengeluaran produk itu terdiri daripada pensyarah, pegawai penyelidik, pegawai eksekutif dan penolong Jurutera dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar iaitu Profesor Madya Dr. Norhafizah Abdullah, Dr. Dayang Radiah Awang Biak, Dr. Mohd Yusof Harun, Shafizah Masuri, Nurhazirah Ismail, Norhasliza Hasan, Adli Nazri Mohd Kassim, Maslinda Abdullah dan Norisham Abdul Wahab.

“Produk ini bukan untuk dijual tetapi digunakan untuk kegunaan dalaman kampus seperti lokasi tumpuan sekitar Fakulti Kejuruteraan terutamanya di kaunter pejabat dan lif sebagai langkah pencegahan awal kepada warga fakulti,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga permintaan dalaman untuk produk ini yang bukan untuk tujuan pengkomersialan daripada Persatuan Pentadbir UPM (PPUPM), Pejabat Pembangunan dan Pengurusan Aset (PPPAUPM) dan staf UPM. - UPM

 

 

Tarikh Input: 02/04/2020 | Kemaskini: 02/04/2020 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
CUJSQAq:16:03