UPM Hantar Tiga Lori Bawa Bekalan 9 Tan Untuk Mangsa Banjir | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM hantar tiga lori bawa bekalan 9 tan untuk mangsa banjir

UPM hantar tiga lori bawa bekalan 9 tan untuk mangsa banjir

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


SERDANG, 30 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar sembilan tan bekalan bantuan kemanusiaan dan wang tunai untuk mangsa banjir bermula minggu ini menggunakan tiga buah lori bagi fasa pertama.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mad Nasir Shamsudin berkata bekalan itu dihantar berperingkat mulai semalam hingga 2 Januari ke Pusat Operasi Angkatan Tentera Malaysia di Pengkalan Udara Subang, Shah Alam.

“UPM juga akan menghantar bantuan ke pusat pengumpulan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Universiti Malaysia Pahang (UMP),” katanya yang membantu pemunggahan bekalan dan melancarkan kempen ‘Bantuan 3D UPM iaitu derma, doa dan dorongan di sini.



Beliau berkata semua bekalan berupa pakaian, kelengkapan harian, produk makanan serta wang tunai adalah hasil sumbangan staf dan pelajar UPM serta orang awam.

“Kempen 3D ini bermaksud selain menderma, warga UPM menganjurkan solat hajat, bacaan Yassin dan menghantar sukarelawan am, sukarelawan kaunselor dan pegawai agama untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan khidmat mereka.

 



“Kami juga menghantar kira-kira 400 sukarelawan staf dan pelajar UPM  menggunakan 10 buah bas untuk membantu mangsa banjir. Kami akan menunggu arahan daripada KPM esok untuk menentukan lokasi sukarelawan UPM ditempatkan.

“Bantuan UPM 3D ini akan diteruskan pada fasa kedua minggu hadapan sehingga keadaan banjir dalam negara pulih sepenuhnya,” katanya.



Pengerusi Bantuan UPM 3D, Prof. Dr. Mansor Ahmad @ Ayob berkata orang awam juga boleh menyumbangkan barangan dan produk makanan ke dua buah Pusat Pengumpulan Bantuan 3D UPM di Panggung Percubaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang sebelum disambung di Masjid UPM dari jam 6 petang hingga 9 malam yang beroperasi setiap hari sehingga situasi banjir pulih di negara ini.

Turut  membantu beliau ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, Timbalan Naib Canselor (Jaringan, Industri dan Masyarakat) Prof. Dr. Ing-. Ir. Renuganth Varatharajoo dan Pendaftar UPM, Dato’ Wan Azman Wan Omar.

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569252997