| Universiti Putra Malaysia

UPM hantar 150 sukarelawan pelajar dan staf bantu mangsa banjir Rantau Panjang

Oleh Khairul Anuar Muhamad Noh


SERDANG, 5 Jan – Universiti Putra Malaysia (UPM) menghantar Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir 3D fasa pertama pada 2 hingga 5 Januari, 2015 baru-baru ini terdiri daripada 150 pelajar dan staf termasuk pasukan perubatan ke lokasi bencana banjir di Rantau Panjang, Kelantan.

Pengerusi Misi Bantuan Mangsa Banjir 3D UPM, Prof. Dr. Mansor Ahmad @ Ayob berkata sebanyak 5 buah bas dan 2 buah lori 3 tan telah dihantar pada 2 Januari lalu dan pada 30 Disember lalu UPM telah menghantar sembilan tan bekalan bantuan dan wang tunai untuk mangsa banjir menggunakan tiga buah lori.



Beliau berkata semua bekalan berupa pakaian, kelengkapan harian, produk makanan serta wang tunai hasil sumbangan staf, pelajar UPM dan orang awam turut dihantar serentak dengan misi sukarelawan.

“Sukarelawan UPM yang diketuai oleh Timbalan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran membantu dalam membersihkan Klinik Kesihatan Bandar, Pasir Mas Kelantan yang rosak teruk akibat banjir sehingga pusat itu mampu beroperasi keesokannya. 

“Selain itu sukarelawan UPM juga membersihkan kawasan persekitaran dan komuniti Taman Rantau Emas, Rantau Panjang,” katanya. mengenai sukarelawan UPM. 



Prof. Mansor berkata sukarelawan kumpulan pertama yang ditempatkan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa menamatkan misi mereka pada 5 Januari akan pulang ke UPM sebelum kumpulan kedua akan dihantar pada 9 hingga 11 Januari dengan sasaran 400 orang pelajar dan staf menggunakan 10 buah bas.

“Misi ini juga diselaraskan oleh Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) yang mengumpul sukarelawan pelajar untuk mengurangkan penderitaan mangsa banjir,” katanya.

Kempen 3D UPM bermaksud selain menderma, warga UPM menganjurkan solat hajat, bacaan Yassin dan menghantar sukarelawan am, sukarelawan kaunselor dan pegawai agama untuk membantu mangsa banjir yang memerlukan khidmat mereka.

Orang awam juga boleh menyumbangkan barangan selain pakaian dan produk makanan ke dua buah Pusat Pengumpulan Bantuan 3D UPM di Panggung Percubaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang sebelum disambung di Masjid UPM dari jam 6 petang hingga 9 malam yang beroperasi setiap hari sehingga situasi banjir pulih di negara ini.


SXDdSAQ~