| Universiti Putra Malaysia

UPM fokus lima strategi utama perkukuh hasrat sebagai menara ilmu disegani

SERDANG, 5 Feb  -  Universiti Putra Malaysia (UPM) memfokuskan lima strategi utama - Memacu Pertanian Berteknologi Tinggi, Membangun Karektor Graduan UPM, Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan, Mendukung Kelestarian Institusi Mapan dan Menatang Pembudayaan Norma Baharu - bagi memperkukuhkan hasrat sebagai menara ilmu yang disegani.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM juga akan memberi tumpuan utama kepada transformasi pertanian melibatkan penggunaan teknologi terkini sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini.

“Pertanian berteknologi tinggi ini melibatkan penggunaan drone, sistem pertanian pintar, kecerdasan buatan (AI) dan data raya dengan dibantu peningkatan penggunaan mekanisasi, benih bermutu yang rintang penyakit serta berdaya tahan tinggi daripada kesan perubahan iklim serta amalan agronomik mapan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Naratif Naib Canselor 2021 bertemakan “Menggema Seruan Al-Falah dari Menara Ilmu” secara dalam talian.

Beliau berkata, UPM dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membangunkan Program Bacelor Teknologi Pertanian Pintar bagi memenuhi hasrat menghasilkan graduan yang bakal menerajui sektor pertanian pintar negara. 

“Program ini telah mendapat kelulusan Senat Universiti dan akan ditawarkan tidak lama lagi.

Intervensi kurikulum program pertanian bagi memperkasakan bidang pertanian perlu dilaksanakan bagi melahirkan graduan yang berkemahiran dengan teknologi terkini serta berpengetahuan dalam ilmu pengurusan perniagaan dan kewangan,” katanya.

Beliau juga berkata, UPM menyahut hasrat KPT untuk menyokong agenda pendigitalan melalui beberapa inisiatif dan strategi pelaksanaan kampus pintar bagi tempoh 2021-2025.

Katanya, usaha ke arah pendigitalan telah digerakkan melalui 30 inisiatif kampus pintar yang meliputi empat kluster iaitu Digital Learning, Smart Manage, Secure Campus dan IoT Application.

Semua inisiaitif kampus pintar itu akan dijenamakan dengan nama Smart PUTRA®.

Pada majlis itu, Prof. Dr. Mohd Roslan turut melancarkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM sebagai sebuah universiti (1971-2021).  Pelbagai program dan aktiviti menarik telah disusun sepanjang 2020.

Antaranya penjualan Gold Bar, penerbitan buku Coffee Table ’50 Jewels of UPM’ dan persembahan Konsert Diraja hasil kerjasama Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis Naratif Naib Canselor UPM itu diadakan bagi menzahirkan aspirasi Naib Canselor UPM yang ke-9, Prof. Dr. Mohd Roslan  untuk mengemudi universiti agar terus cemerlang sebagai sebuah menara ilmu dan institusi keilmuan yang disegani. - UPM

SXEYTA~