UPM, ELS, Tingkat Pengajaran Bahasa Inggeris Di Kampus | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM, ELS, tingkat pengajaran Bahasa Inggeris di kampus

UPM, ELS, tingkat pengajaran Bahasa Inggeris di kampus


SERDANG, 13 Jun (UPM) – Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ELS Educational Services, sebuah institusi pengajaran Bahasa Inggeris bertaraf dunia, telah memeterai satu perjanjian berkenaan bahasa itu di sini.

Memorandum persefahaman tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Ramlan, manakala di pihak ELS pula ditandatangani oleh Mark Harris, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Ianya dilangsungkan bersempena dengan persidangan dan ekspo tahunan NAFSA (Association of International Educators) di St. Louis, Amerika Syarikat pada 29 Mei, 2013.

Perjanjian tersebut mengandungi hasrat bersama kedua belah pihak untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar UPM.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ELS hari ini, memorandum persefahaman itu juga menyokong pergerakan pelajar di peringkat global melalui pengambilan pelajar antarabangsa yang layak bagi kemasukan ke UPM, serta galakan sebagai laluan antarabangsa antara UPM dengan jaringan rakan kongsi ELS di lebih 650 universiti di seluruh dunia.

Ia menawarkan 69 lokasi pengajian bagi pengajaran Bahasa Inggeris di kampus-kampus universiti, termasuk di kampus UPM Serdang, serta di tempat-tempat lain seperti di Amerika Syarikat, Kanada, Eropah, Australia dan China.

Selain itu, ELS juga mempunyai 14 lagi pusat pengajaran Bahasa Inggeris di Indonesia, Malaysia, Oman, Panama, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Sejak penubuhannya lebih 50 tahun lalu, ELS telah membantu lebih daripada 1.1 juta pelajar antarabangsa mencapai matlamat peribadi mahupun profesional melalui latihan persediaan Bahasa Inggeris serta rundingan profesional.

UPM merupakan sebuah universiti penyelidikan bertaraf 6 bintang di Malaysia dengan jumlah purata pendaftaran seramai 30,000 pelajar, yang mana 3,000 daripadanya merupakan pelajar antarabangsa. - UPM

Lh/Kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566320234