| Universiti Putra Malaysia

UPM dekati murid SJK (T) Kem Askar Melayu Diraja cintai alam sekitar dan biodiversiti

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun

PORT DIKSON, 27 Sept - Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memberi pendedahan kecintaan dan kepentingan penjagaan alam sekitar serta biodiversiti kepada 44 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Kem Askar Melayu Diraja menerusi program ‘Greening Malaysia: Love Our Forest II’ di sini, hari ini.

Pengarah program, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata program ini memupuk minat murid-murid untuk mencintai alam sekitar dan memberi pendedahan awal kepada mereka terhadap haiwan dan tumbuhan yang perlu dipelihara untuk kebaikan generasi masa hadapan.

“Pendidikan dan kesedaran terhadap kecintaan alam sekitar perlu diberikan kepada setiap individu sejak kecil lagi. Kita sering mengejar pembangunan tetapi lupa untuk menjaga kemampanan alam sekitar.

“Pelbagai aktiviti menarik yang kita jalankan mengikut tahap usia murid-murid di sini agar mereka seronok bermain sambil menimba ilmu berkenaan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Di akhir program saya lihat murid-murid di sini banyak mengetahui nama haiwan dan tumbuhan yang baharu,” katanya.

Program ini turut mendukung Pelan Strategik UPM 2021-2025 melalui Matlamat 1, Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang yang meningkatkan kemahiran insaniah pelajar untuk berkongsi ilmu bersama komuniti dan meningkatkan kemahiran komunikasi.

Sementara itu, Guru Besar sekolah, K.Sumathi berkata program ini secara tidak langsung mendekati hati murid-murid menghargai dan mencintai alam demi kebaikan mereka di masa hadapan.

“Pendekatan ini dapat melahirkan generasi yang bertanggungjawab untuk memelihara alam sekitar dan lebih menghargai pokok terutamanya. Murid-murid dapat mengetahui keperluan pokok yang banyak memberi kebaikan kepada kehidupan manusia dan haiwan,” katanya.

Dalam pada itu, program ini turut diserikan oleh 10 orang pelajar mobiliti dari Queensland University of Technology (QUT), Australia yang menjadi fasilitator kepada murid-murid di sini selain mempelajari kepelbagaian budaya yang terdapat di Malaysia. -UPM

SXFYPAK~