UPM Dan One FM Anjur Program ‘one FM Go Green Campaign’ Sempena Earth Hour | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM dan One FM anjur program ‘one FM Go Green Campaign’ sempena Earth Hour

UPM dan One FM anjur program ‘one FM Go Green Campaign’ sempena Earth Hour

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto Mohd Hasrul Hamdan

 



SERDANG, 28 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama One FM Radio Sdn Bhd (oneFM) menganjurkan aktiviti menanam 500 pokok buah-buahan di sekitar Dusun Contoh UPM sempena program ‘one FM Go Green Campaign’ dalam menyokong sambutan Earth Hour 2015 di sini.

Antara pokok buah-buahan jenis nadir ditanam ialah buah rambutan, buah ciku dan buah tampoi.

Ketua Jenama dan Promosi Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Fara Aida Dahlan berkata penganjuran program itu bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat memastikan alam sekitar terpelihara.

“Ini merupakan antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memberi perhatian kepada isu alam sekitar yang kian meruncing pada masa kini.



“Pada awalnya  kami menjalankan promosi dengan menghebahkan program ini di siaran radio one FM dan mengambil masa hampir dua minggu untuk membuat pemilihan serta mengumpulkan sukarelawan yang mendaftar secara online,” katanya.

Tambah beliau, UPM menjadi pilihan utama dalam menjalankan program ini kerana UPM mempunyai fasiliti lengkap dalam menjalani program tersebut dan sejajar dengan hasrat universiti  yang mementingkan aktiviti hijau di kampus.

 



“Ini merupakan permulaan kolaborasi yang baik antara pihak Media Prima Radio Networks dan UPM kami berharap dapat bekerjasama lagi dengan UPM dengan aktiviti-aktiviti CSR yang lain,” katanya.

One FM merupakan stesen radio berbahasa Cina di bawah Rangkaian Radio Media Prima yang mula bersiaran pada Januari 2009.

Turut hadir dalam program tersebut Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan, DJ one FM iaitu Nicholas, Yin Yin, Angelina, Wayne, William, Kian serta artis 8TV Bernard, Wind Natalie, Dennis dan penyanyi duo Fuying & Sam.

Sementara itu, pelajar tahun pertama Fakulti Veterinar, UPM Banumathy Gunasegaran, 20 berkata program ini memberi pendedahan baharu kepada beliau yang baru pertama kali mengikuti aktiviti sebegini.



“Saya gembira dapat menyertai aktiviti ini kerana memberi pengetahuan kepada saya mengenai cara penanaman pokok dengan betul  dan berharap program seperti ini akan berterusan di UPM,” katanya. – UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569048222