| Universiti Putra Malaysia

UPM dan KVPTI anjur program advokasi ilmu bagi pengembangan teknologi pertanian


Oleh: Dr. Nor Asma binti Ab Razak

TELUK INTAN, 4 Okt – Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan (KVPTI) mengadakan program advokasi ilmu bertemakan model pengembangan teknologi pertanian holistik ke arah Malaysia maju baru-baru ini.

Antara panel forum advokasi ilmu yang terlibat iaitu Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM,  Prof Dato’ Dr Mohd Azmi Mohd Lila,  Pengarah Institut Biosains, Prof Dr. Abdul Rahman Omar, Timbalan Pengarah Cawangan Perancangan, Pembangunan dan Dasar Strategik, NATC Puan Radhuhaida Ramli, Timbalan Pengarah Akademik BPTV, Fauzi Abdullah dan Ketua Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian Prof Madya Dr. Norsida Man.

 



Pengarah KVPTI, Rusli bin Sharkom berkata, UPM sebagai peneraju dalam usaha melengkapkan pendidikan yang menekankan pembangunan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“KVPTI merupakan salah satu institusi pendidikan yang menawarkan program pengajian berbentuk vokasional pertanian yang berpusat di bawah pengurusan BPTV. Melalui perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani pada 29 September 2014, pelbagai program telah dirangka yang melibatkan para pelajar dan pensyarah  KVPTI. 

“Penglibatan pelajar dapat meningkatkan kemahiran insaniah bukan akademik dalam membentuk sahsiah, profesionalisme pelajar, melahirkan pelajar yang berkualiti dan modal insan yang cemerlang. Ini seterusnya menyemarakkan bidang pertanian dengan menggunakan pendekatan teknologi moden dan terkini yang bersesuaian.

Tambah beliau, usaha tersebut adalah sejajar dengan pelan transformasi pendidikan vokasional dalam menyediakan pendidikan dan latihan vokasional yang inovatif untuk memenuhi keperluan individu, masyarakat, industri dan negara.


Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, UPM Prof Dato’ Dr Mohd Azmi bin Mohd Lila berkata sejajar dengan misi UPM iaitu ke arah universiti bereputasi antarabangsa, memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara adalah penting di samping kecemerlangan kualiti penyelidikan dan inovasi.

 “Program ini merupakan jalinan komuniti yang dilaksanakan oleh UPM selama lima tahun bagi melihat impak pembangunan komuniti yang melibatkan khidmat-nasihat serta perkongsian ilmu dari UPM bersama KVPTI merangkumi pelbagai disiplin. Malahan, dengan adanya program sebegini, hasil penyelidikan dan teknologi terkini boleh dikongsi bersama komuniti, ” katanya.

Pengarah Institut Biosains, Prof Dr Abdul Rahman bin Omar berkata UPM akan memfokuskan kepada dua bidang utama iaitu bidang kultur tisu tumbuhan diketuai oleh Puan Julia Abd Aziz dan Kejuruteraan Bioproses yang diketuai oleh Dr Nor Asma Ab Razak, masing-masing dari Institut Biosains.

“Pelbagai program telah dirancang bagi menyediakan latihan peningkatan kemahiran guru (TOT) dan pelajar dalam bidang teknologi pertanian. Antaranya aktiviti yang diadakan adalah bengkel kultur tisu dan bengkel bioreaktor serta penempatan  pelajar lepasan Diploma KVPTI bagi latihan praktikal.

“UPM turut menyumbang tenaga dalam bentuk khidmat nasihat bagi menaik taraf makmal kultur tisu tumbuhan yang menjadi tempat pembelajaran pelajar vokasional dan penghasilan anak pokok kultur tisu yang berkualiti bagi tujuan komersial,” katanya.



Sementara itu, KVPTI adalah model jaringan komuniti yang bekerjasama dengan UPM bagi memastikan modal insan iaitu para pelajar Sijil Kemahiran Vokasional dan Diploma dapat dididik dan diberi ilmu, kemahiran terus daripada universiti.

Program itu merupakan komitmen UPM untuk  menggerakkan sumber intelektual dan infrastruktur dalam fungsi pengembangan kepada masyarakat bandar berasaskan niche pertanian UPM. Sebagai institusi yang bermula dengan menyelidik dan menyebarkan ilmu pertanian, adalah wajar UPM mengembalikan kecemerlangan sektor pertanian dan penerokaan bidang dan ilmu yang baharu.


Antara aktiviti kerjasama UPM dan KVPTI yang menarik berlangsung sepanjang 3-4 Oktober 2014 ialah pertandingan kultur tisu individu, kultur tisu berkumpulan, cipta produk menggunakan buah nenas dan cipta model hidroponik. Seramai 100 orang turut hadir di dalam program yang diadakan pensyarah, penyelidik dan lain-lain yang terlibat. - UPM


 


WXEZUAQ~