| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Jepun bekerjasama bangunkan sistem kultur jisim mikroalga baharu

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto oleh: Saleha Haron

 

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Soka, Universiti Tokyo, Institut Teknologi Tokyo dan Institut Kajian Alam Sekitar Kebangsaan, Jepun bekerjasama dalam Projek “COSMOS International Conference (CIC, 2022)” dengan menginovasi teknologi baharu dan aplikasi eko-kejuruteraan mikroalga baharu dalam bidang akuakultur.

Persidangan Antarabangsa CIC 2022  antara Malaysia dan Jepun memberi tumpuan kepada prospek membangunkan industri akuakultur dengan lapan projek yang berteraskan empat tema utama dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Agensi Sains dan Teknologi Jepun (JST).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, ini adalah kolaborasi antara tiga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan empat buah universiti di Jepun untuk membangunkan industri akuakultur.

“Projek Sains dan Teknologi Research Partnership for Sustainable Development Program(SATREPS) memberikan contoh unik yang mempamerkan impak positif  dan hubungan dalam kalangan saintis, petani dan usahawan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pencapaian projek ini selaras dengan aspirasi UPM untuk berada di barisan hadapan dalam menangani cabaran dan hala tuju sektor akuakultur,” katanya.

Persidangan itu adalah sebahagian daripada program COSMOS-MOHE yang menyediakan platform untuk komuniti saintifik bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain sambil bertukar-tukar pengetahuan dan kepakaran teknologi mikroalga, daripada kajian asas biologi dan ekologi sehingga ke aplikasi sosial, ke arah era baharu eko-kejuruteraan.- UPM

SXEUVAd~