| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Jabatan Perangkaan meterai MoU bidang demografi, sosio-ekonomi


Oleh: Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 22 Feb - Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangka peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan dalam bidang demografi dan sosio-ekonomi.

MoU itu ditandatangani Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Dr. Abdul Rahman Hasan.

Ia disaksikan Pengarah Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (IPPM) UPM, Prof. Dr Tengku Aizan Hamid dan Timbalan Ketua Perangkawan (Ekonomi) DOSM, Ismail Yusof.

Prof. Datin Paduka Dr. Aini berkata jalinan kerjasama itu akan dapat meningkatkan serta mengukuhkan lagi kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada dua-dua pihak serta negara.

“Objektif utama MoU adalah untuk mengenal pasti peluang kerjasama penyelidikan dan pembangunan dalam bidang demografi dan sosio ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di bangunan Canselori Putra di sini.

Katanya, statistik dan perangkaan adalah penting bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran, selain dapat menghasilkan penyelidikan yang lebih mantap serta mengukuhkan penulisan jurnal atau kajian.

Datuk Dr. Abdul Rahman pula berkata analisis berkehendakkan data untuk menjadikan  setiap analisis atau penyelidikan itu lebih komprehensif.

“MoU dan kerjasama seperti ini akan dapat menyokong hasrat kerajaan supaya institusi pengajian tinggi dapat menghasilkan ramai penyelidik,” katanya. - UPM


 


SXETQA~