| Universiti Putra Malaysia

UPM dan Bioversity International meterai MoU bidang penyelidikan


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Marina Ismail

SERDANG, 20 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Bioversity International menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang merangka peluang kerjasama bagi mempertingkatkan prestasi UPM  dalam bidang penyelidikan terutamanya pertanian, perhutanan, dan bioteknologi di arena antarabangsa.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata kerjasama itu dilihat sebagai platform kepada pelajar antarabangsa untuk menjalankan projek penyelidikan bersama pensyarah UPM dan saintis Bioversity International.

“Bioversity International adalah sebuah organisasi penyelidikan biodiversity antarabangsa yang memberi fokus kepada peningkatan sekuriti makanan dan nutrisi, daya tahan spesis tanaman dan pokok, serta produktiviti dan perubahan iklim negara ahli.

“Kerjasama dengan organisasi bertaraf antarabangsa diharap dapat mempertingkatkan kemahiran pelajar UPM ke persada antarabangsa,” katanya.

Bioversity International adalah ahli CGIAR Consortium yang bertujuan membangun serta melaksanakan program penyelidikan untuk menangani isu-isu pembangunan kompleks berkaitan pertanian.

Bioversity International kini di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani  serta Kementerian Luar Negeri dan beroperasi selama lebih daripada 20 tahun di Serdang bagi kawasan Asia Pasifik.

Sementara itu, Felo Penyelidik Utama, Laboratori Pengurusan Biosumber Mampan (BIOREM), Institut Perhutanan dan Produk Hutan (INTROP) UPM, Prof. Dato’ Dr. Nik Muhamad Nik Ab. Majid dilantik oleh Bioversity International sebagai Honorary Research Fellow sehingga Disember 2016, manakala Dr. Riina Jalonen, Associate Scientist Bioversity International dilantik sebagai Research Associate di INTROP UPM. – UPM


SXEUUAu~