| Universiti Putra Malaysia

UPM buka gelanggang Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Izrul Jabar

SERDANG, 8 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi pembuka gelanggang Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia 2022 yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO), dan Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).

Siri 1 Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia ini juga direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan daripada beberapa universiti awam yang lain antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Naib Canselor UPM, YH Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman Berkata program ini dapat menyerlahkan kecaknaan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia untuk sentiasa membugarkan semangat patriotisme, dan rasa kecintaan terhadap negara yang berdaulat ini.

“Meskipun UPM berorientasikan bidang pertanian, namun iltizam untuk mengangkat martabat bahasa, sastera dan budaya sama sekali tidak diabaikan. 

“Saya berkeyakinan program ini mampu mewujudkan semangat kecintaan kepada negara dan menyebarluaskan semangat perjuangan melalui puisi,” katanya dalam ucapan pelancaran Siri 1 Jelajah Puisi Merdeka Keluarga Malaysia di Dewan Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK).

Sementara itu, Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari berkata program ini sebagai wadah menyemarakkan semangat patriotik dan cinta negara melalui institusi pengajian tempatan serta masyarakat sekitar.

“Jelajah puisi kebangsaan bermula di UPM kemudian kita akan pergi ke universiti awam yang lain seperti UMS dan UNIMAS. Terima kasih UPM kerana bekerjasama untuk menjayakan persembahan pada malam ini,” katanya.

Dato’ Rahman juga antara lapan orang daripada PENYAIR yang mendeklamasikan puisi manakala lima orang pensyarah FBMK UPM turut menyampaikan puisi masing-masing yang bertemakan kecintaan pada negara.

Turut hadir, Timbalan Naik Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Prof. Dato' Dr. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad. – UPM

SXEZTAV~