UPM Bincang Peluang Pendidikan Untuk Pelajar Asing Dengan Duta Duta Afrika | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM bincang peluang pendidikan untuk pelajar asing dengan duta duta Afrika

UPM bincang peluang pendidikan untuk pelajar asing dengan duta duta Afrika

Oleh Stephanie Shalini
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 16 April (UPM) - Universitit Putra Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan perwakilan dari negara-negara Afrika untuk membincangkan tentang peluang pendidikan untuk pelajar antarabangsa belajar di universiti terkemuka itu.

Diketuai oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Fauzi Ramlan, pegawai kanan, dekan dan ketua fakulti dan institusi di UPM telah memberi penerangan kepada Duta dan Pesuruhjaya Tinggi Afrika tentang program pengajian di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah untuk pelajar sepenuh masa atau pelajar pertukaran.

Perwakilan itu berasal dari negara-negara Afrika yang terdiri daripada Namibia, Nigeria, Sudan, Zimbabwe, Kenya, Algeria, Mesir, Guinea, Ghana, Mauritius, Zambia, Lesotho, Swaziland, Tanzania, Morocco dan Senegal.



Turut hadir ialah Penasihat dan Fasilitator kepada Kedutaan Afrika ke Malaysia, Datuk Suhaidi Sulaiman.

Pesuruhjaya Tinggi Namibia, Gebhard B. Kandanga yang berucap di perjumpaan itu bagi pihak rakan-rakannya berkata mereka berharap UPM akan menawarkan lebih banyak program berunsur pendidikan.

Beliau juga berharap UPM dapat berkongsi pengetahuan tentang mengoptimumkan penggunaan tanah yang luas di Afrika untuk pertanian kerana UPM ialah universiti perintis dalam bidang pertanian di negara Malaysia.

UPM telah ditubuhkan pada tahun 1931 sebagai sebuah sekolah pertanian sebelum dinaik taraf menjadi sebuah kolej dan seterusnya sebuah universiti penyelidikan.

Setakat ini, ia mempunyai lebih daripada 30,000 pelajar termasuk lebih daripada 3,000 pelajar antarabangsa dari 60 buah negara.

Universiti ini menawarkan hampir 70 program pengajian prasiswazah dan kira-kira 400 bidang pengajian untuk pasca siswazah.



Prof. Dr. Mohd Fauzi Ramlan dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa UPM ingin menggiatkan kolaborasi penyelidikan antara penyelidik tempatan dan Afrika untuk membawa program penyelidikan dan pembangunan ke peringkat global.

UPM, katanya, ingin mengalu-alukan lebih ramai pelajar antarabangsa untuk belajar di sini sama ada  sebagai pelajar sepenuh masa atau melalui pertukaran pelajar.

“Bilangan pelajar dari negara Afrika di UPM akan ditingkatkan melalui program pengajian sepenuh masa, pertukaran pelajar dan kerjasama dalam bidang penyelidikan. Malah usaha ini membolehkan universiti tempatan mendapat geran penyelidikan daripada agensi dan syarikat besar dunia bagi menjalankan penyelidikan yang lebih tinggi,” kata beliau lagi.

Kementerian Pengajian Tinggi telah mensasarkan kemasukan 200, 000 pelajar antarabangsa yang belajar di institusi pengajian tinggi di Malaysia menjelang 2020.

Pada masa ini, terdapat lebih daripada 90,000 pelajar antarabangsa yang belajar di negara ini dan mereka berasal dari negara-negara seperti Indonesia, China, Iran, Nigeria, dan Yemen.

Selepas perjumpaan itu, kesemua Duta dan Pesuruhjaya Tinggi dibawa melawat Institut Biosains bagi melihat fasiliti dan infrastruktur penyelidikan dan pembangunan (R&D) di UPM.

Sss/kgo/kam


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568812701