| Universiti Putra Malaysia

UPM bermunajat sempena Peperiksaan Akhir Semester 2022/2023 bersama pelajar

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Izrul Abdul Jabar


SERDANG, 20 Januari- Universiti Putra Malaysia (UPM) bermunajat sempena Peperiksaan Akhir Semester Sesi 2022/2023 dengan melakukan solat hajat dan bacaan Yasin bersama-sama pelajar UPM dengan gabungan Majlis Penutupan Program Muslim Start-Up Month 2.0.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof. Dr. Ismi Arif Ismail berkata, UPM bermunajat sempena peperiksaan akhir adalah sebuah inisiatif yang baik kerana melakukan solat hajat dan bacaan Yasin adalah amalan mulia yang bukan sahaja menjadi tuntutan agama malah sejajar dengan hasrat negara mewujudkan masyarakat berpengetahuan.

"Program ini diadakan secara menyeluruh iaitu tertumpu kepada semua pelajar UPM sama ada beragama Islam ataupun bukan Islam bagi menyemai sifat perpaduan yang utuh dalam kalangan pelajar.

“Selain itu ini adalah usaha untuk mendidik generasi pelapis masyarakat yang mempunyai kesedaran terhadap kepentingan sahsiah dan ilmu kerohanian serta menerapkan nilai akhlak yang terpuji dalam diri," katanya.

Selain itu, selepas bermunajat, pelajar telah menyertai Majlis Penutupan Program Muslim Start-Up Month 2.0 yang telah berlangsung selama 15 hari bermula 5 Januari hingga 19 Januari 2022 dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah, bengkel kepimpinan, pengucapan awam, khidmat masyarakat serta Majlis Solat Hajat dan Bacaan Yasin. - UPM

SXDdQA1~