| Universiti Putra Malaysia

UPM beri penganugerahan sempena MGP

Oleh:  Noor Eszereen Juferi
Foto:   Muhammad Ezham Hussin

SERDANG, 24 Mei – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi tujuh   penganugerahan kepada staf yang cemerlang sempena Majlis Gemilang Putra (MGP) 2022 di sini.

Naib Canselor UPM, YH. Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata beliau berharap agar seluruh warga UPM akan terus melakarkan kejayaan dan menunjukkan budaya kerja yang berprestasi tinggi dalam melaksanakan tugasan seharian.

“Saya percaya dengan keikhlasan warga UPM dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan memberi impak yang cemerlang kepada UPM dan akan menjadi inspirasi kepada warga UPM yang lain,” katanya.

Pendaftar UPM, Muhazam Mansor berkata harapan beliau agar penerima anugerah akan berperanan sebagai kumpulan pemangkin kecemerlangan kepada warga UPM serta mengekalkan hasil kerja yang cemerlang dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat dan negara.

Tambah beliau, dak bermakna staf yang tidak menerima anugerah MGP tidak dihargai.

“Penghargaan turut ada diberikan dalam acara yang lain kerana universiti yakin kecemerlangan hadir dalam pelbagai perspektif dan salah satunya melalui penyampaian perkhidmatan dalam tugas harian,” katanya.

Sementara itu, penganugerahan MGP 2022 telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari.

MGP 2022 adalah majlis pengiktirafan universiti kepada staf yang cemerlang pada tahun 2021. Sebanyak lima kategori dianugerahkan termasuk Anugerah Jasamu Dikenang yang dianugerahkan kepada 11 pegawai yang meninggal dunia.

Selain itu, Anugerah Jasa Putra disampaikan kepada 135 pegawai yang telah bersara, Anugerah Perkhidmatan Melebihi 40 Tahun kepada 11 pegawai yang telah berkhidmat untuk tempoh 40 tahun di UPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang diterima oleh 497 pegawai yang berkhidmat dengan cemerlang bagi tahun 2021.

Anugerah Tokoh Pekerja (Kategori Pengurusan dan Profesional), Prof. Ir. Dr. Mohd Sapuan Salit; Anugerah Tokoh Pekerja (Bukan Akademik), Mohd Isnain Ali dan Anugerah Tokoh Pekerja (Kategori Pelaksana), Mohd Masran Hj.Mat Aris. - UPM

SXDdUAr~