| Universiti Putra Malaysia

UPM, APQA Korea Selatan jalin kerjasama pemeriksaan produk pertanian

Oleh Noraida Ahmad Zaimi

Foto oleh Marina Ismail

SERDANG, 10 Dis – Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Animal and Plant Quarantine Agency (APQA), Korea Selatan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dalam kerjasama untuk kuarantin pemeriksaan produk pertanian, ternakan, tenusu dan perhutanan.

Kerjasama itu juga bagi memperkukuhkan kolaborasi penyelidikan dalam bidang pencegahan dan kawalan pelbagai penyakit haiwan yang berkepentingan sedunia melalui penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, idea dan inovasi kedua-dua belah pihak.

Pengarah IBS, UPM, Prof. Dr. Abdul Rahman Omar berkata susulan kejayaan UPM melaksanaan projek kolaborasi dengan APQA pada tahun 2016-2018, pihak APQA berhasrat untuk memperluaskan kerjasama penyelidikan bersama pihak IBS, UPM.

“Kerjasama ini juga akan mempergiatkan aktiviti pertukaran staf dan pelajar siswazah, permohonan geran penyelidikan bersama, pertukaran bahan-bahan penyelidikan serta penerbitan bersama,” katanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zulkifli Idrus; Director General APQA, Yong An; Veterinary Researcher APQA, Salmonellosis OIE Expert, Dr. Min-Su Kang dan Veterinary Researcher APQA, Dr. So-Youn Youn.

APQA adalah agensi kerajaan Korea Selatan yang bertanggungjawab melaksanakan dasar yang berkaitan dengan sektor pertanian secara keseluruhan serta menguatkuasakan kuarantin pemeriksaan produk pertanian, produk ternakan, produk tenusu, produk perhutanan dan mewujudkan langkah pencegahan melalui pelaksanaan kuarantin.

APQA diiktiraf sebagai Laboratori Rujuk OIE (OIE Reference Laboratory) bagi penyakit Brucellosis pada 2009, penyakit Newcastle Disease pada 2010, penyakit Chronic Wasting Disease (CWD) serta Rabies pada 2012, penyakit Japanese Encephalitis pada 2013, penyakit Foot and Mouth Disease (FMD) pada 2016 dan Salmonellosis pada 2018. - UPM

SXETPA4~