| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Sambutan Hari Bumi tingkat kesedaran warga kampus kelestarian akam sekitar

Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 22 April - Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Bumi 2022 peringkat UPM bagi meningkatkan kesedaran warga kampus berkenaan kelestarian alam sekitar.

Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd. Roslan Sulaiman berkata UPM berusaha menuju ke arah kampus lestari yang jelas dan berwawasan bagi mengekalkan reputasi UPM sebagai universiti paling lestari.

“Peralihan kepada gaya hidup lestari hanya dapat direalisasikan dengan matlamat yang jelas   dan memandangkan UPM sebagai universiti paling lestari dalam tempoh 12 tahun berturut-turut, agenda kampus hijau UPM akan diperkasakan,” katanya.

Tambah beliau, agenda kelestarian kampus juga turut dipacu ke arah konsep ekonomi kitaran yang menumpukan kepada mengoptimumkan guna pakai sumber melalui program berterusan seperti pengumpulan air hujan, pembuatan baja kompos, penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui dan lain-lain.

“UPM terus proaktif dalam memastikan kesinambungan dalam amalan kelestarian serta saya menyeru kepada warga kampus untuk terus melabur kebaikan dan khidmat bakti kepada bumi demi kesejahteraan masa hadapan dalam menikmati kehidupan yang berkualiti,” katanya.

Selain itu, program yang bertemakan “Invest In Our Planet” diadakan secara serentak di seluruh UPM bagi membentuk warga kampus yang cakna mengenai penjagaan alam sekitar.

Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan turut berinteraksi bersama wakil PTJ yang terlibat melalui aplikasi Zoom bagi melihat inisiatif PTJ yang menjalankan aktiviti di tempat mereka.

Sebanyak 20 PTJ di UPM menjalankan aktiviti kelestarian di PTJ masing-masing. Selain itu, beliau melancarkan TV Kampus UPM iaitu PUTRA TV.  

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor, (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Nazamid Saari; Ketua Pustakawan UPM, Muzaffar Shah Kassim; Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Prof. Dr. Azmawani Abd Rahman serta Pegawai Kanan Universiti. - UPM

WXEUMAN~