| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Sambutan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020

 

SERDANG, 10 Dis –  Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Sambutan Bulan Kesedaran Kampus Inklusif OKU UPM 2020 yang bermula pada 16 November sehingga 22 Disember 2020.

Kempen itu adalah salah satu Rangka Tindakan Kampus Inklusif OKU UPM yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 25 Jun lalu sebagai platform kepada pelajar dan staf untuk mengetahui perkhidmatan yang disediakan oleh UPM kepada warga Orang Kurang Upaya (OKU) serta memberi pengiktirafan terhadap sumbangan warga OKU UPM.

Melalui kempen itu, pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), UPM akan meneliti semua aspek keperluan warga OKU melalui kursus serta bengkel yang dijalankan selain dapat mengeratkan kesepaduan hubungan dan integrasi pelbagai pusat tanggungjawab di UPM demi kesejahteraan OKU.

Selain itu, Dasar Inklusif OKU UPM yang telah diwujudkan pada 8 September lalu ditandatangani oleh Yang Amat Mulia Tengku Sharif Laksamana Perlis Dato’ Seri DiRaja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Hari OKU Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah diisytiharkan pada 3 Disember sejak tahun 1992 untuk sambutan setiap tahun. Selaras dengan komitmen antarabangsa, Kerajaan Malaysia turut meraikan hari OKU setiap tahun bermula tahun 1994.

Pelbagai aktiviti dan program akan dilaksanakan antaranya program ialah Kursus Bahasa Isyarat (16 November 2020); Perjumpaan Khas OKU-BKUPM (19 November 2020); Alumni OKU Sharing Knowledge & Passion (20 November 2020); Online Career Fair & Talk (26 November 2020); Sesi Ramah Mesra & Dialog Khas Pelajar OKU bersama Timbalan Naib canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu (27 November 2020); Program Disability Equality Training (DET) (8-9 Disember 2020); Bengkel Garis Panduan Pelaksanaan Kampus Inklusif OKU (15-16 Disember 2020) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kampus Induk Kampus Insklusif OKU (22 Disember 2020).

Sehingga Oktober 2020, terdapat 53 pelajar OKU dan lima (5) orang staf OKU akademik/bukan akademik di UPM yang terdiri daripada tujuh kategori ketidakupayaan iaitu OKU penglihatan, pendengaran, fizikal, pertuturan, pembelajaran, mental dan pelbagai.

Selain memantapkan pengurusan dengan mewujudkan Dasar, Jawatankuasa serta Rangka Tindakan Kampus Inklusif OKU UPM juga telah mengambil langkah sewajarnya dengan menyediakan kemudahan kepada warga OKU di UPM antaranya dua unit kenderaan OKU hasil sumbangan warga UPM dan orang ramai dengan kerjasama pihak Lembaga Zakat Selangor (MAIS) yang diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) bersama pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM; pemasangan dan latihan Mesin Pencetak Braille hasil sumbangan orang ramai menerusi Dana Wakaf Ilmu UPM dan pembangunan aplikasi Buku Audio oleh Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM bertujuan untuk membuka peluang kepada semua untuk mendermakan suara mereka bagi membantu golongan OKU penglihatan mengulangkaji nota menerusi suara pembacaan yang dirakamkan oleh rakan-rakan mereka ke dalam aplikasi tersebut dibawah penyelarasan Zuhaimi Abdul Rahim dari WAZAN. - UPM

 

SXDdPAZ~