| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program untuk menggalak pelajar MRSM pilih kerjaya sains

Oleh Noor Eszereen Juferi
Gambar oleh Sabri Omar


TNC (JIM), Prof. Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo bersama pelajar tingkatan empat dari 42 Maktab  Rendah Sains MARA


SERDANG, 22 Ogos (UPM) – Seramai 142 pelajar tingkatan empat dari 42 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara telah diberi pendedahan mengenai bidang sains dan penyelidikan sains agar mereka memilih kerjaya dalam bidang tersebut.

Pendedahan selama 4 hari dalam Program Nobel Laureate’s Outreach (NLOC) anjuran Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah, Majlis Amanah Rakyat (MRSM) itu bertujuan menerapkan pelajar MRSM dengan elemen penyelidikan untuk mengasah potensi diri.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo berkata pembelajaran yang berasaskan penyelidikan (research based) dan secara individu (individualized learning) itu mampu menghasilkan bakal saintis negara yang bertaraf antarabangsa pada masa depan.


Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Dr. Ir. Renuganth Varatharajoo


“Ini dapat menimbulkan minat kepada pelajar mengenai budaya penyelidikan melalui soal jawab pelajar untuk meningkatkan prestasi kecemerlangan sains,” katanya pada majlis penutup program di sini hari ini.

Beliau berkata, program NLOC itu juga dapat mempromosikan Pusat Asasi Sains Pertanian (program laluan pantas), Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, UPM.

Program kali kedua itu bertepatan dengan matlamat UPM untuk memperkasakan penglibatan komuniti untuk penjanaan dan perkongsian ilmu.

 


Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Mahzan Atan


Para pelajar dibimbing oleh para pensyarah dan fasilitator dari Fakulti Sains, Fakulti Perhutanan dan Fakulti Pengajian Alam Sekitar untuk menjalankan penyelidikan dalam makmal, menganalisis data, perbincangan dan menyiapkan laporan aktiviti.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA, Mahzan Atan; Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Zainal Abidin Talib; Dekan Fakulti Perhutanan, Prof. Datin Dr. Faridah Hanum Ibrahim dan Dekan Fakulti Pengajian Alam Sekitar, Prof. Madya Dr. Ramdzani Abdullah. – UPM

- nej/kgo

 


SXDdPA~