UPM Anjur Program ‘Shot Your Target’ Tingkat Minat Subjek Matematik | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur program ‘Shot Your Target’ tingkat minat subjek Matematik

UPM anjur program ‘Shot Your Target’ tingkat minat subjek Matematik


Oleh: Nurfarhana Binti Mohd Azmi

KUALA LUMPUR –
Kelab Mahasiswa Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program ‘Shot Your Target’ untuk pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Segambut Jaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, yang bertujuan meningkatkan minat  pelajar terhadap subjek Matematik

Pengarah program, Ahmad Danial Lokman berkata kebanyakan pelajar kurang menggemari subjek Matematik Tambahan di sekolah kerana menganggap bahawa subjek itu sangat susah dan sukar untuk mendapat ‘A’.

“Tujuan program ini adalah supaya pelajar lebih berkeyakinan untuk belajar subjek Matematik Tambahan dan menguasai topik-topik tertentu dalam subjek tersebut,” katanya.

 



Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program itu adalah ‘Addmaths Paper 1 Drill’, ‘Addmaths Paper 2 Drill’, sesi motivasi dan permainan kuiz.

Katanya, program itu juga bertujuan merangsang pelajar supaya mempunyai hala tuju selepas menamatkan persekolahan kelak.

“Kita cuba untuk memberi gambaran mengenai keadaan persekitaran pembelajaran di pusat pengajian tinggi untuk meningkatkan kesedaran pelajar dan memperkenalkan UPM,” katanya.

Program tersebut juga mampu melahirkan fasilitator yang lebih berkeyakinan daripada segi penyampaian pengajaran dan kemahiran insaniah agar UPM mampu melahirkan graduan yang unggul.

Seorang daripada fasilitator itu, Anis Husna Helmi Zakuan berkata, dia sangat bertuah kerana terpilih menjadi fasilitator program berkenaan.

Katanya, dia dapat berkongsi ilmu yang dipelajari di UPM dengan para pelajar serta berkongsi pengalaman sebagai seorang mahasiswi universiti awam.

Dalam pada itu, Ketua Panitia Matematik, Nor Hadijah Hashim menyokong supaya program Shot Your Target terus dianjurkan dan pihak SMK Segambut Jaya sedia menjalinkan kerjasama dengan Kelab Mahasiswa Matematik UPM pada masa akan datang.

“Program ini mendapat maklum balas yang positif daripada para pelajar yang terlibat dan diharap dengan program ini, pelajar dapat belajar dengan lebih tekun untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan berlangsung tidak lama lagi.” - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569094833