| Universiti Putra Malaysia

UPM Anjur Program Mobiliti Secara Maya Himpun 63 Pelajar dari Dalam dan Luar Negara

 

SERDANG, 29 Mei - Sekretariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tujuh Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) anjur program mobiliti maya antarabangsa “Connect Beyond Homeland Mobility” (CBHM) yang menghimpunkan 63 pelajar dari Malaysia, Thailand, Jepun, Itali, dan Perancis menggunakan aplikasi Zoom.

Program CBHM merupakan mobiliti maya yang julung kali dianjurkan oleh Kolej Tujuh Belas, UPM dengan rakan strategik antarabangsa dari Thaksin University (Thailand), Kagawa University (Jepun), University of Pisa (Itali) dan European School of Political and Social Sciences (Perancis).

Selain itu, program yang berlangsung itu juga disiarkan di Facebook Live Universiti Putra Malaysia untuk penonton luar.  

Pengetua Kolej Tujuh Belas, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Jasronita Jasni menyatakan bahawa ikatan antara universiti seperti ini harus diteruskan walaupun program berakhir.

“Program ini telah memberi impak positif dalam membantu mereka belajar tentang negara, universiti, pembelajaran, aktiviti dan persahabatan pada tahap global serta mewujudkan jalinan yang lebih erat sesama institusi kerjasama,” katanya.

Penyelaras Hal Ehwal Antarabangsa, Jabatan Sains Veterinar, University of Pisa, Itali, Prof. Roberta Moruzzo berkata program itu adalah peluang yang terbaik untuk mewujudkan kerjasama dalam mempertingkatkan rangkaian antara semua pihak.

“Penganjuran program itu menawarkan peluang kolaborasi melalui keterlibatan hubungan diplomatik yang harmoni serta jangkauan khalayak antarabangsa yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, para peserta berkongsi tentang pengalaman yang bertemakan kehidupan kampus, kesukarelawanan, isu semasa dan budaya dengan bantuan visual paparan slaid dan video.

Forum Slot 4 (Research Projects Share and Guide by the Professionals) dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 4), Pendidikan Berkualiti telah memberi tumpuan kepada pengetahuan ilmiah yang bermanfaat dari pelbagai perspektif dengan empat tajuk penyelidikan yang berbeza.

Profesor Madya Dr. Ngatu Roger dari Kagawa University, Jepun telah berkongsi pengalamannya memantau pelajar tahun akhir menghadiri bengkel latihan selepas perkongsian beliau “Obesity and Type-2 Diabetes Prevention: Contribution of Rare Sugars and Adiponectin Bio-Modulators Discovery”.

Turut hadir, Dr. Nor Eliani Ezani (UPM) dengan tajuk perkongsian “How Safe is Your Living Space from Indoor Air Pollution? – Making the Invisible Visible”, Assist. Prof. Dr. Dusanee Suwankhong (Thaksin University, Thailand) – “Perceptions and lived experiences of women living with breast cancer: A qualitative study”, dan Dr. Lara Tinacci (University of Pisa, Itali) – “Residues of veterinary drugs in fish and fish products: Analysis of RASFF data over the last 20 years” yang juga merupakan ahli panel. - UPM

SXEZRA4~