| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur program mobiliti bersama dua universiti di Indonesia beri pelajar pendedahan pendidikan holistik

Oleh: Alan David

INDONESIA, 13 Dis - Inisiatif pihak universiti untuk memberikan platform yang luas untuk mencapai graduan unggul hendaklah diperincikan dan diutamakan bagi menyediakan pengalaman dan pendidikan secara holistik.

Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) Sesi 2022/2023, Universiti Putra Malaysia (UPM)  telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program KMB Global Outreach dengan kerjasama Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta dan Universitas Padjajaran, Bandung, Indonesia baru-baru ini.

Program yang bertemakan “Pendidikan Tanpa Sempadan” bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar KMB bagi mendapat pendedahan pendidikan pada peringkat antabarangsa bersama institusi luar negara yang terlibat.

Pada masa yang sama, program itu diharapkan dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran kepimpinan dan pengurusan bertaraf antarabangsa.

Pengetua Kolej KMB UPM, Prof. Madya Dr. Jasronita Jasni berkata program ini dianjurkan untuk mewujudkan rangkaian utuh bersama pelajar dari institusi luar negara serta menyediakan platform perkongsian pengetahuan akademik, pengalaman kesukarelawanan, kehidupan kampus dan aktiviti kebudayaan yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.

”Kolaborasi antarabangsa ini telah menjadi salah satu medium yang efektif dalam menyediakan pelajar kita untuk menjadi lebih terbuka dalam memberikan pendapat dan berpeluang untuk melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan serta memperoleh ilmu pengetahuan dari segi adat, budaya dan pendidikan yang diterapkan di Indonesia,” katanya.

Pengarah program mobiliti KMB Global Outreach, Alan David berkata program itu tidak akan dijalankan tanpa bantuan semua pihak terutamanya ahli jawatankuasa pelaksana yang komited untuk menjayakan program mobiliti tersebut.

“Berkat kerjasama daripada semua pihak, terutamanya wakil peneraju daripada Universitas Gadjah Mada dan Universitas Padjajaran kami dapat berganding bahu dalam menganjurkan program mobiliti ini.

”Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada barisan ahli jawatankuasa daripada kedua-dua belah pihak atas kerjasama, masa dan tenaga yang anda berikan dalam menjayakan program KMB Global Outreach ini,” katanya.

Selain itu, program tersebut berkonsepkan perkongsian ilmu pengetahuan akademik di mana pelajar daripada UPM mempelajari cara pembelajaran dan pengajaran serta memberikan peluang kepada pelajar UPM untuk bertukar pandangan bersama pelajar Universitas Gadjah Mada, Yogyakarta dan Universitas Padjajaran, Bandung, Indonesia.

Program yang telah dijalankan bersama Universitas Gadjah Mada (UGM), Yogyakarta, Indonesia antaranya aktiviti lawatan ke fakulti-fakulti perubatan dan sains sosial dijalankan serta sesi pertukaran adat dan budaya di antara pelajar UPM dan UGM

Sementara itu, program bersama Universitas Padjajaran (UNPAD), Bandung, Indonesia mengambil konsep yang sama seperti yang dilaksanakan di UGM serta terdapat tambahan slot aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan di Panti Asuhan Muhammadiyah, Bandung di mana sesi beramah mesra dan beberapa lagi aktiviti jalinan ikatan bersama anak-anak yatim di panti asuhan tersebut.

Program KMB Global Outreach ini mampu mencapai matlamat untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang cemerlang dari segi sahsiah, akademik dan kokurikulum sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan Matlamat 3 Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri dan Masyarakat. - UPM

SXEaCAl~