UPM Anjur Program Kesihatan Bersama UM Untuk Orang Asli Di Pulau Carey | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » UPM anjur program kesihatan bersama UM untuk Orang Asli di Pulau Carey

UPM anjur program kesihatan bersama UM untuk Orang Asli di Pulau Carey

Oleh Noor Eszereen Juferi
Foto oleh Sabri Omar



PULAU CAREY, 5 April (UPM)– Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya menganjurkan program bersama masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Bumbun, Pulau Carey, Hulu Langat, Selangor.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Dr. –Ing Ir. Renuganth Varatharajoo berkata program itu merupakan platform untuk mengenal pasti permasalahan yang boleh pihak universiti membantu dalam pembangunan taraf kehidupan orang asli.

“UPM terbuka untuk bekerjasama dalam pembangunan orang asli dan kini sedang dalam proses pembangunan reka bentuk rumah khas yang sesuai untuk didiami oleh orang asli di Malaysia hasil usaha sama Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, UPM,” katanya semasa merasmikan program kemasyarakatan dan pemeriksaan kesihatan bersama masyarakat Orang Asli di sini.



Tambah beliau, penglibatan aktiviti bersama orang asli bukan sahaja di Selangor, malah di negeri-negeri lain iaitu antaranya Pahang, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Masyarakat Orang Asli merupakan salah satu fokus yang diberi keutamaan dalam aktiviti pembangunan masyarakat di UPM dan kami bersedia bersama masyarakat Orang Asli dengan adanya modul-modul latihan dan pembangunan,” katanya.

Ketua program, Dr. Ahmad Kamarul Juperi berkata kesihatan dan pendidikan merupakan dua elemen utama bagi melahirkan masyarakat yang sihat dalam mewujudkan sebuah negara yang maju di masa akan datang.

“Dengan pelaksanaan program ini diharapkan dapat memastikan masyarakat orang asli di perkampungan tersebut mendapat peluang pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma  serta mempunyai perpustakaan mini yang lengkap dengan bahan bacaan untuk menanam sifat minat membaca di kalangan masyarakat orang asli,” katanya.

Tambah beliau, dengan penganjuran program sebegini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara pihak institusi pengajian tinggi bersama masyarakat orang asli melalui aktiviti-aktiviti sebegini.

 



Pelajar Bacelor Sains (Dietetik), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Nurlyana Bukhari berkata program kemasyarakatan seperti ini diharapkan akan berterusan untuk pelajar mempertingkatkan pengalaman di kalangan masyarakat orang asli.

“Saya mendapati dari aspek pemakanan masyarakat Orang Asli kurang mengambil makanan berprotein. Makanan berprotein penting dalam membekalkan nutrien serta mengurangkan risiko menangani penyakit kronik,” katanya.

Rakannya, Lu Zheng Yi berkata program ini merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti aktiviti sebegini dan berharap program seperti akan berterusan.

“Ini adalah pendedahan yang baik dan saya dapat mengaplikasikan ilmu yang ada untuk membantu masyarakat orang asli terutamanya dalam pemakanan seimbang,” katanya.

Sementara itu, antara aktiviti yang dilaksanakan iaitu pemeriksaan kesihatan dan pergigian secara percuma serta program pendidikan berterusan yang direalisasikan di dalam bentuk penubuhan mini perpustakaan di perkampungan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Kuala Langat, Selangor. – UPM/nej/kgo

 

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566317288