| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Program Hulurkan Tangan: Flourishment of Pulau Songsong & Kampung Desa Keda Badong, Singkir, Kedah santuni komuniti kampung

Oleh: Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa

KEDAH – Kelas Pembangunan Kesukarelawanan, Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengadakan program Hulurkan Tangan: Flourishment of Pulau Songsong & Kampung Desa KEDA Badong, Singkir, Kedah.

Program yang berlangsung selama 6 hari 5 malam itu disertai oleh 50 pelajar termasuk pelajar antarabangsa, dua daripada China dan seorang daripada Bangladesh. Mereka telah dibimbing dan dipantau oleh tiga staf PKPP sepanjang program berlangsung.

Program itu merupakan kesinambungan daripada program bersama komuniti di daerah Yan, Kedah, termasuk di dalam sempadan projek Geopark Jerai yang telah dimasyhurkan sebagai Geopark Kebangsaan oleh Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2018.

Pulau Songsong telah dipilih bagi program ini kerana keistimewaan yang terdapat padanya, bukan sahaja ianya kaya dengan kehidupan marin tetapi ianya juga kaya dengan hutan pulau dan keadaan geografinya yang tidak terdapat di pulau lain.

Kehadiran spesies hidupan laut yang pelbagai menjadikan pulau ini syurga bagi pemancing dan penyelam skuba. Pada masa yang sama pulau itu menyimpan kisah sejarah penubuhan Kedah moden yang tidak diketahui oleh masyarakat luar.

Sehingga kini, kesan peninggalan sejarah tersebut masih wujud di atas pulau tersebut dan dijaga rapi oleh komuniti nelayan yang menggunakan pulau terbabit untuk berlindung daripada ribut ketika laut bergelora.

Walau bagaimanapun Kepulauan Songsong yang terdiri daripada Pulau Bunting, Pulau Songsong, Pulau Telur dan Pulau Bidan perlu dipelihara daripada sebarang kerosakan terutama sekali daripada aktiviti yang boleh merosakkan ekosistem dan alam semula jadi kepulauan itu.

Konsep pembangunan lestari perlu diterapkan sepenuhnya demi memastikan tiada kerosakan serius berlaku di situ. Keempat-empat pulau itu merupakan harta berharga kepada negara.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh pelajar UPM termasuklah aktiviti pembersihan dan pengindahan Pulau Songsong, Yan. Para pelajar turut melakukan aktiviti yang menggalakkan pelestarian pulau.

Di antaranya menyediakan tempat berpaut di tengah laut bagi penyelam dan perenang untuk berpaut sekiranya mereka keletihan ataupun berehat sebentar daripada aktiviti rekreasi laut. Ianya diperbuat daripada botol plastik terbuang yang dimasukkan ke dalam sebuah jala besar bersama logo UPM.

Antara aktiviti lain yang turut dijalankan di atas pulau itu iaitu mengecat tembok surau, pembersihan dahan pokok, pembersihan sampah dan botol plastik.

Peserta daripada UPM turut mendapat kerjasama   dari agensi tempatan antaranya Balai Bomba Yan, Koperasi Desa KEDA Sg. Udang Yan Berhad dan Jabatan Perikanan Malaysia, Kuala Muda sepanjang aktiviti di pulau tersebut. Ini secara langsung telah membantu para peserta untuk mengasah kemahiran insaniah mereka dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai agensi tempatan.

Hasil hubungan baik yang terjalin di antara semua agensi dengan pelajar UPM akan mengeratkan lagi jaringan industri UPM bersama agensi dan komuniti luar kampus.

Sementara itu, para pelajar turut terlibat dengan program menyantuni komuniti Kg. Desa KEDA Badong, Singkir, Kedah yang terletak bersebelahan dengan daerah Yan. Sebanyak 42 keluarga angkat telah mengambil bahagian di dalam program ini yang turut mendapat tajaan daripada Pasaraya Borong Sakan, Kuala Kangsar, Perak, Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM.

Antara aktiviti yang dilakukan bersama komuniti di situ adalah program anak angkat, taklimat kesedaran penipuan atas talian kepada penduduk kampung, kelas silat dan gendang kepada pelajar UPM, gotong royong menyediakan makan tengahari dan malam dan malam kebudayaan pada malam penutup.

Para pelajar bukan sahaja mencurahkan bakti dan pengetahuan mereka kepada komuniti, tetapi pihak komuniti turut memberikan pengetahuan kepada para pelajar.  

Program seperti ini bukan sahaja dapat memindahkan ilmu pengetahuan kepada para peserta, ianya juga menggalakkan silang budaya kesemua peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. - UPM

SXEUVAX~