| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Pameran Solo Ke-29 ‘Meditasi’ oleh Suzlee Ibrahim


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Mohd Hasrul Hamdan

SERDANG -
 Buat julung kalinya, Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), menganjurkan Pameran Solo ke-29 Meditasi oleh Suzlee Ibrahim baru-baru ini.

Penyelaras Galeri Serdang, Dr. Shureen Faris Abdul Shukor berkata pameran itu merupakan pertama kali apabila galeri yang terletak di institusi pengajian tinggi menjadi platform untuk memaparkan hasil kerja pelukis tersohor di Malaysia.

“Pameran ‘Meditasi’ ini dinantikan oleh peminat hasil seni abstrak. Selain itu, warga UPM dan komuniti sekitar Serdang mendapat pendedahan melihat secara dekat hasil karya beliau,” katanya.



Beliau berkata, karya abstrak ekspresionis melalui siri karya itu menyentuh aspek sejarah dan inti pati karya abstrak ekspresionisme.

“Apa yang menarik mengenai pameran ini adalah bagaimana Suzlee mendefinisikan ‘Meditasi’ sebagai ‘amalan kelonggaran yang melibatkan pelepasan fikiran dari semua hal yang menarik, membebankan dan mencemaskan dalam hidup seharian,” katanya.

Sementara itu, pameran itu telah diwartakan oleh pihak Malaysia Books of Record sebagai Longest Abstract Painting in Art Gallery.



Suzlee Ibrahim, 48, yang bertugas sebagai pensyarah sepenuh masa di Fakulti Rekaan Komunikasi Visual, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang selama 28 tahun sebagai pelukis.

Karya-karya beliau pernah dipamerkan di lebih 20 negara antaranya United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Jerman, Perancis, Belgium, Itali, Brazil, Cuba, Sepanyol, Kanada, China, Jepun, Argentina, Greece, Poland, UAE, Singapura, Australia, Nepal dan Bangladesh. - UPM


SXDdGAl~