| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur Hands of Hope beri sumbangan pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Sabri Omar 

NILAI, 19 Oktober – Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Hands of Hopes bersama Pembimbing Rakan Sebaya (PPS) dan Pengawas Tahap 1 di Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf, Nilai, Negeri Sembilan bagi memberi sumbangan melalui pemindahan ilmu, kepakaran  serta khidmat masyarakat.

Program itu merupakan siri jelajah komuniti dari Seksyen Perkhidmatan Interversi, Pejabat Pendaftar, UPM dengan kerjasama Putra®|Bakti turut mendapat tajaan dari Kao (Malaysia) Sdn. Berhad dan juga sabun Soap of Hope daripada Institut Biosains (IBS), UPM.

Ketua Seksyen Perkhidmatan Intervensi, Pejabat Pendaftar UPM, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, program tersebut bertujuan untuk menyantuni pelajar sekolah dengan pelbagai aktiviti yang ekspresif serta pemindahan ilmu kepada komuniti khususnya.

“Pendekatan ini selaras dengan peranan Putra®|Bakti untuk memberi fokus kepada nic universiti serta memberi peluang kepada warga universiti untuk kongsikan kepakaran serta khidmat masyarakat,” katanya.

Fasilitator program, Prof Madya Dr. Siti Aqlima Ahmad yang juga penerima Pingat Saintis Muda Polar berkata, program itu dapat membantu perkembangan pelajar sekolah untuk memperoleh ilmu baharu

“Sebagai fasilitator di program ini saya mahu memberi inspirasi kepada pelajar sekolah mengenai Polar Kutub Selatan di Antartika iaitu berkenaan dengan haiwan-haiwan dan bagaimana untuk menjaga kelestarian alam sekitar kita,” katanya.

Penolong Kanan Petang Sekolah Kebangsaan Dato’ Ahmad Manaf, Salmah Abdul Rahim berkata, program ini adalah baik untuk pelajar sekolah untuk memberikan pengalaman belajar di luar bilik darjah dan perkembangan ilmu semasa.

“Saya berharap program sebegini akan di teruskan dan saya berterima kasih kepada pihak UPM atas perkongsian pembelajaran serta pengalaman seperti ini yang diperlukan oleh pelajar sekolah selain daripada belajar dalam kelas dengan seorang guru,” katanya.

Sementara itu, Putra®|Bakti adalah untuk meningkatkan kesedaran tanggungjawab sosial dan kemahiran insaniah dalam kalangan warga UPM serta merupakan satu langkat dalam usaha UPM melaksanakan agenda ihsan dengan memperkukuhkan budaya berbudi, bertoleransi dan penyayang untuk pembangunan modal insan.

SXEUMA~