| Universiti Putra Malaysia

UPM anjur forum Say It Louder! beri pengetahuan ilmu publisiti kepada pelajar UPM

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Mahmud Ridzwan Rasali 

SERDANG, 14 Dis – Persatuan Mahasiswa Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FALCOMM), Universiti Putra Malaysia menganjurkan Forum Say It Louder! bagi memberikan pengetahuan khusus serta langkah-langkah bagi mempraktikkan ilmu publisiti kepada pelajar UPM

Forum itu membawa topik Influence and Publicity: Navigating the Social Media Landscape dihadiri oleh Pengasas Project Fearless and Clue to the Zoo, Ashiqin Shamsuri, Pensyarah Jabatan Komunikasi, FBMK, UPM, Dr. Diyana Kasimon dan Pempengaruh Media Sosial, Mark O’Dea sebagai panel jemputan.

Pengarah program, Pretheveraj a/l Vijaya Perapagaran berkata, beliau berharap melalui forum tersebut pelajar UPM akan memahami lebih baik penggunaan sosial media dalam mempraktikkan ilmu publisiti serta membina rangkaian secara individu dan organisasi.

“Pada masa kini media sosial kebanyakannya memaparkan kandungan berunsur negatif bagi mengejar populariti dan sebenarnya terdapat cara yang beretika yang boleh diaplikasikan untuk menjadi seorang pencipta kandungan ataupun pempengaruh yang berkualiti,” katanya.

Peserta program, Zaty Zulaikha Z’ulfatah berkata sebagai seorang pelajar Bacelor Komunikasi, FBMK, UPM, forum itu sangat berinformasi dan beliau akui mendapat input yang baik melalui ketiga-tiga panel tersebut.

“Bagi saya ianya bagus untuk mengetahui secara mendalam mengenai ilmu publisiti serta dapat memperkukuhkan kemahiran saya dari aspek publisiti di media sosial yang boleh digunakan pada masa akan datang,” katanya.

Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa Asing) dengan Major Bahasa Perancis, FBMK, UPM, Wong Chin Wee berkata program itu memberikan beliau pemahaman untuk menggunakan platform media sosial dengan betul serta memberikan beliau inspirasi untuk menghasilkan kandungan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Ini adalah penting kerana kita perlu cakna dalam penggunaan media sosial secara kreatif tanpa mewujudkan konflik serta kekeliruan untuk membuat perubahan yang positif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, FALCOMM UPM adalah persatuan mahasiswa yang berada di bawah FBMK, UPM ditubuhkan untuk menjadi perantaraan dalam semua hal berkenaan dengan fakulti yang terdapat di dalam Universiti. - UPM

WXEaCA~