| Universiti Putra Malaysia

UPM Alumni Golden Fit terima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records

Oleh: Pusat Perhubungan Alumni

SERDANG, 6 Ogos -  Sejarah tercipta buat Universiti Putra Malaysia (UPM). Program yang awalnya dirangka khas untuk menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM (1971-2021) telah memberikan impak yang cukup besar walaupun pelaksanaannya semasa pandemik COVID-19.

Dengan kejayaan memperoleh penyertaan terbesar iaitu seramai 6,203 alumni telah melayakkan program ini dinobatkan sebagai rekod penyertaan terbesar dalam acara kecergasan alumni universiti di The Malaysia Book of Records (MBR).

Program yang digerakkan secara maya ini bermula pada 5 Februari sehingga 30 Julai 2021. Acara ini membenarkan peserta untuk memilih aktiviti kecergasan yang bersesuaian dengan mereka antaranya berjalan kaki, berlari, menunggang basikal dan juga berkuda.

Para peserta boleh memilih kategori yang ini disertai dengan jarak yang dibenarkan iaitu 50 km, 25 km, 10 km dan 5 km. Lebih istimewa lagi, setiap kategori akan menerima cenderahati eksklusif antaranya adalah pingat yang mana rekaannya berbentuk logo Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM yang pasti akan menjadi bahan kenangan sepanjang zaman.

Program ini merupakan kerjasama di antara Pusat Perhubungan Alumni bersama pelajar UPM di bawah Chapter Student Ambassador (CSA), Persatuan Alumni UPM (PAUPM) dan juga KDS Apparel.

Majlis penyerahan Sijil The  Malaysia Book of Records ini, yang diadakan secara maya dihadiri oleh Prof. Dr. Roslan Sulaiman, Naib Canselor UPM; Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal  Ehwal Pelajar dan Alumni); Dato’ Raihan Sharif, Presiden Persatuan Alumni UPM (PAUPM); Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni; Encik Fahmi Azar Mistar, Timbalan Pengarah ARCUPM; Encik Edwin Yeoh Teong Chin, Perunding Rekod Kanan, The Malaysia Book of Records; Cik Sabrina Abdu Hadid, Pengarah Program UPM Alumni Golden Fit, Jawatankuasa Pengurusan Universiti,  Pegawai-Pegawai Kanan UPM, para alumni dan warga kampus.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud berkata UPM Alumni Golden Fit telah mewujudkan satu sumbangan alumni yang sangat signifikan iaitu pewujudan satu Biasiswa Menteri Besar Selangor kepada pelajar UPM dan pembinaan Arca 50 Tahun UPM yang akan dibina kelak.

“Saya yakin dan percaya kejayaan program ini adalah hasil tuaian kepada jalinan hubungan yang erat di antara alumni, pelajar dan warga kampus. Tanpa hubungan yang kukuh tidak mungkin program ini dapat memberi impak seperti yang diharapkan. Inilah semangat kecintaan dan kebersamaan yang ingin kita perkasakan selari dengan slogan ‘Kami Bangga Menjadi Alumni UPM’ agar matlamat “Bersama Mencitra Alumni UPM” dapat direalisasikan,” katanya.

Prof. Dr. Roslan Sulaiman pula menzahirkan rasa kagum atas kegigihan para pelajar dalam merealisasikan acara kecergasan ini demi menyemarakkan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun UPM.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada pelajar CSA iaitu sebuah chapter pelajar di bawah ARCUPM kerana telah berjaya melaksanakan program UPM Alumni Golden Fit dengan penuh kecemerlangan.Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor melalui Menteri Besar Incorporated kerana telah menaja program UPM Alumni Golden Fit.

Prof. Dr. Mohd Roslan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana program UPM Alumni Golden Fit dan jawatankuasa perunding The Malaysia Book of Records atas penganugerahan sijil itu. Beliau kemudian merasmikan sesi penyerahan Sijil The Malaysia Book of Records UPM Alumni Golden Fit 2021 - UPM

WXDdQAv~