| Universiti Putra Malaysia

UPM akan menyambut Hari Sumbangan Buku Antarabangsa pada 14 Februari

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Foto oleh Marina Ismail



SERDANG, 19 Mac – Universiti Putra Malaysia (UPM) akan menyambut Hari Sumbangan Buku Antarabangsa pada setiap 14 Februari bagi menggalakkan warga kampus dan orang ramai menyumbang buku mereka, demikian menurut Naib Canselor UPM Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan.

Beliau berkata di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun,   aktiviti menyumbang buku telah menjadi satu budaya kebanggaan mereka.

“Tujuan asal hari tersebut disambut adalah untuk menggalakkan orang ramai memberi buku antara satu sama lain dan menyumbang buku kepada oraganisasi seperti perpustakaan dan pusat kebajikan masyarakat,” katanya sempena Kempen Sumbangan Buku anjuran Perpustakaan Sultan Abdul Samad UPM di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan penyerahan sumbangan buku oleh Profesor Emeritus Dr. Chin Hoong Fong kepada Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM.

Beliau berharap saranan (Ketua Perpustakaan UPM Amir Hussain Md Ishak) supaya 14 Februari dikhaskan untuk penyumbangan buku itu dapat disampaikan kepada semua warga kampus dan orang ramai untuk menjayakan kempen itu.



“Saya merasakan budaya ini perlu dipupuk dan diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia, “ katanya sambil menambah bahawa beliau percaya terdapat banyak buku di rumah dan pejabat yang sesuai diberikan kepada perpustakaan.

“Saya juga menyeru supaya warga kampus dapat menyumbang buku ke perpustakaan ini dan menjadikannya amalan yang berterusan demi membangun khazanah ilmu,” kata Prof Dr Mohd Fauzi.

Sementara itu, Amir dalam ucapan aluannya berkata Perpustakaan Sultan Abdul Samad sentiasa berusaha untuk meningkat dan memantapkan koleksinya dan sepanjang 3 tahun kebelakangan ini, perpustakaan itu telah menerima sebanyak 23,700 naskah buku dan jurnal.

Beliau berkata kempen sumbangan buku itu adalah untuk menyuntik semangat warga UPM dan orang ramai untuk mengambil kesempatan menyumbang buku kepada perpustakaan.

Mereka telah mengeluarkan jadual kutipan sumbangan di peringkat fakulti secara bergilir hingga bulan Ogos ini. – UPM

- smz/kgo/kam/Del


WXETQAV~