| Universiti Putra Malaysia

UPM – Petronas Chemicals kaji pencemaran pellet plastik di pantai Kemaman-Paka

Oleh: Khairul Anuar Muhamad Noh

 

SERDANG, 2 Mei - Universiti Putra Malaysia (UM) dan Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd menjalinkan kerjasama penyelidikan status pencemaran pellet plastik di sepanjang pantai Kemaman-Paka, Terengganu.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris berkata kawasan kajian termasuk dalam ekosistem marin merangkumi pantai dan tanah lembab.

“Usaha pemantauan dan kajian potensi bahaya bahan plastik di persisiran pantai penting bagi mengukur tahap pencemaran dan prestasi pengurusan plastik. Dianggarkan 80% pencemaran plastik di laut datangnya daripada kawasan daratan.

“UPM mempunyai kepakaran dalam bidang Ekologi Pantai merangkumi bidang sains, teknologi dan sosioekonomi. Inisiatif Petronas Chemicals LPDE Sdn. Bhd. dan Prof. Dr. Ahmad Ismail merupakan langkah awal kerjasama isu alam sekitar, dan kepelbagaian biologi,” katanya.

Prof Aini yang menandatangani persefahaman itu bersama Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals LDPE Sdn. Bhd. Alias Mamat berkata kepelbagaian biologi adalah petunjuk kepada kesihatan alam sekitar yang membawa menfaat kepada masyarakat.

Prof. Aini berkata, Malaysia adalah antara penyumbang pencemaran plastik di lautan kelapan dunia dan pencemaran bahan toksik boleh  mengancam hidupan laut dan kesihatan manusia.

“Pencemaran plastik dalam ekosistem marin menjadi perhatian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana semua negara disaran memainkan peranan aktif dalam pengurusan pencemaran plastik,” katanya.

Turut hadir ialah Pengurus (Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekitar) PETRONAS Chemicals, Naziha Mohamed Nadzirin,  Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof. Dr.-Ing. Ir. Renuganth Varatharajoo dan Dekan, Fakulti Sains, UPM, Prof. Dr. Mohd Basyaruddin bin Abdul Rahman. - UPM

 

 

 

SXETXAP~