| Universiti Putra Malaysia

UPM – Muslim Best Marketing tingkat kerjasama pembangunan sistem manual halal


Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Marina Ismail

SERDANG, 23 Jan – Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Syarikat Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. akan meningkatkan kerjasama dalam pembangunan sistem dan manual halal.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris berkata kerjasama strategik itu memberi faedah kepada UPM dan Muslim Best dalam merealisasikan bidang penyelidikan ke peringkat lebih tinggi.

“Ini memberi peluang kepada UPM untuk berkongsi kepakaran dan teknologi yang sedia ada di UPM antaranya kemudahan makmal untuk menganalisis makanan, pelabelan produk makanan dan analisis autentikasi halal serta melaksanakan fisibiliti pasaran halal,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UPM dan Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd, di sini.

Mou itu ditandatangani oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris bagi UPM, manakala Presiden Muslim Best (M) Sdn. Bhd., Dato’ Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad mewakili  Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd.

Turut hadir Pengarah IPPH UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Yazid Abd. Manap; dan Timbalan Presiden Muslim Best (M) Sdn. Bhd., Dato’ Nik Izani Nik Ibrahim.

Dato’ Sheikh Ahmad Dasuki Sheikh Mohamad berkata kerjasama itu memberi peluang kepada industri untuk mewujudkan penglibatan bersama institusi pengajian tinggi (IPT) dalam perkongsian maklumat dalam pengeluaran produk halal.

“Syarikat kami melaksanakan kilang Anchor-Vendor yang mengeluarkan produk makanan dan akan menganalisis produk-produk Anchor-Vendor menggunakan kemudahan di IPPH, UPM. Kedua-dua pihak akan memastikan bahan mentah, mesin, peralatan dan bahan pencuci  mengikut piawaian halal yang ditetapkan oleh syariah,” katanya.

Syarikat Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd. merupakan syarikat yang diberi tanggungjawab oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melaksanakan kilang Anchor-Vendor yang mengeluarkan produk mi segera, biskut, kerepek ubi, air minuman dan jus. - UPM

 

 


WXEUJAT~