| Universiti Putra Malaysia

UPM, 1MCC perkukuh kerjasama bangunkan bakat bola sepak remaja negara

Oleh Azman Zakaria
Foto Marina Ismail



SERDANG, 5 Ogos: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan 1MCC Sports Sdn Bhd (1Malaysia Connecting Communities) memperkukuhkan lagi kerjasama dalam membangunkan bola sepak, di kalangan remaja melalui usaha mencungkil dan menggilap bakat mereka ke arah melahirkan pemain berkaliber.

Untuk itu, kedua-dua pihak menandatangani surat hasrat (letter of intent) bagi kerjasama aspek fasiliti, kejurulatihan dan pembangunan bola sepak dalam majlis yang diadakan di UPM.

UPM diwakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan, manakala 1MCC oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Vivienne Leong, dengan disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Pengerusi 1MCC, Dato Chan Tien Ghee.

Tempoh kerjasama adalah selama 10 tahun.



Dato’ Dr. Mohd Fauzi berkata melalui kerjasama itu,1MCC akan menjadikan UPM sebagai rakan konsultansi pusat pembangunan program bola sepak dan gelanggang kejohanan.

“1MCC akan membantu UPM dalam fasiliti, penganjuran sukan, seminar, program, manfaat mobiliti pelajar dan staf UPM ke United Kingdom dan pengalaman penganjuran kejohanan, manakala 1MCC berpeluang menggunakan fasiliti padang bola sepak Kolej 10 UPM dan membangunkan bola sepak melalui pertandingan Liga 1MCC,” katanya.

1MCC mula menggunakan padang bola sepak UPM sebagai gelanggang kejohanan Liga 1MCC sejak 2013.

Sementara itu Datin Vivienne Leong berkata, kerjasama itu adalah usaha untuk membantu memajukan bola sepak bukan saja dalam pencarian dan mengumpulkan pemain remaja yang berbakat dalam satu kejohanan, tetapi juga dapat mendedahkan jurulatih kepada  pengalaman melalui kejohanan serta kursus yang dianjurkan.

“UPM memberi sokongan besar sejak 2013 apabila Liga 1MCC mula diadakan di UPM. Sambutan terhadap liga ini yang terbuka kepada pasukan di Lembah Klang amat baik,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 92 pasukan menyertai kejohanan itu yang dibahagikan kepada tiga peringkat umur iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 14 Tahun dan Bawah 16 Tahun yang dipecahkan kepada Divisyen 1 dan Divisyen 2.

“Kita menggunakan pendekatan holisitik. Selain bermain bola sepak, disiplin remaja juga boleh dibentuk melalui Liga 1MCC. Perlawanan pula diadakan pada hujung minggu yang tidak akan mengganggu pelajaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai cadangan untuk membawa pemain yang benar-benar berbakat untuk berlatih atau melihat corak latihan 10 “Partner Clubs” 1MCC di empat negara Eropah dan Amerika Syarikat.

“Partner Clubs” 1MCC adalah West Ham United, Charlton Athletic, Wolverhampton Wanderers dan Sheffield Wednesday di England; Glasgow Rangers (Scotland); Sampdoria, Chievo dan Verona (Itali) serta Torres Calcio iaitu pasukan kelab wanita di Itali; Utrecht FC (Belanda); dan Portland Timbers (Amerika Syarikat). – UPM


SXDdUAd~