| Universiti Putra Malaysia

"Universiti platform terbaik dalam perkembangan ilmu" - Pemenang Hadiah Universiti

Oleh: Noor Eszereen Juferi

BINTULU, 4 Nov – Pemenang Hadiah Live Animals Medical Centre (Graduan Terbaik Bacelor), Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke- 47 Sidang 1, UPM Kampus Bintulu (UPMKB), Nurul Syahmah Matsah menggalakkan anak muda untuk melanjutkan pengajian ke universiti demi mendapatkan perkembangan ilmu yang terbaik.

Nurul Syahmah, 25, begraduat dalam program Bacelor Sains (Pembangunan Manusia Dengan Pengurusan), UPMKB berkata dalam meneruskan untuk memperoleh ilmu, mahasiswa perlu seiring dengan penglibatan program yang ada di universiti bagi meningkatkan kemahiran insaniah.

“Ini adalah penting kerana melalui penglibatan pelajar sebagai peserta, sukarelawan atau ahli jawatankuasa program akan memberi nilai tambah kepada diri pelajar untuk bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan kelak,” katanya.

Beliau yang bercita-cita untuk berkhidmat di United Nations Children’s Fund (UNICEF) turut berkongsi pengalaman sedih di mana ayah beliau meninggal dunia semasa hari kelima ketika menjalankan minggu orientasi di UPMKB.

“Pada masa itu, saya hilang semangat dan tidak mahu menyambung pengajian namun sokongan daripada adik yang telah menyampaikan amanat arwah ayah mahukan saya teruskan pengajian telah menjadi penguat semangat saya,” katanya.


Sementara itu, Penerima Hadiah Kecemerlangan Yvonne Sing Sai Hoi, Tai Yu Tian berkongsi pandangan beliau berkenaan pencarian ilmu di universiti bukan sekadar untuk mendapatkan ijazah. 

Yu Tian, 20, graduan Diploma Perikanan, UPMKB berkata dalam memperluaskan ilmu pengetahuan ianya tiada batasan dan perlu terus berusaha untuk memperkukuhkan diri bagi mencapai hasrat beliau untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan kelak. 

“Universiti adalah tempat terbaik untuk mahasiswa untuk berkongsi ilmu bukan sahaja sesama mahasiswa malah kepada komuniti sekitar yang boleh dimanfaatkan serta untuk pembangunan diri bersama,” katanya.

SXDDUAQ~