| Universiti Putra Malaysia

UCTC bantu penduduk Long Semadoh jana pendapatan dari produk asas tani



Oleh: Zaidi Tajuddin

Long Semadoh (Lawas, Sarawak), 19 Nov – Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM akan membangunkan Pusat Pengkomposan dan Kemahiran Komuniti Desa Long Semadoh di kawasan Parlimen Lawas di sini, yang  bakal memanfaatkan 10 buah kampong masyarakat Lun Bawang di sekitar desa ini.

Majlis pra perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato’ Henry Sum Agong, yang merupakan pemimpin pertama dilantik dari kalangan komuniti Lun Bawang.

“Ini satu program yang baik, saya percaya penduduk akan mendapat manfaat dan mempelajari amalan pertanian terutama dalam pembuatan kompos dan pemprosesan asas tani seterusnya menjual produk mereka untuk menjana pendapatan sampingan,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
 
Majlis itu anjuran UCTC UPM bersama Jabatan Hutan Sarawak selaku rakan kerjasama strategik. Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Jack Liam; Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad; dan Penghulu Desa Long Semadoh Dennis Yahya Ating.

Pengarah UCTC UPM , Prof Madya Dr Hawa ZE Jaafar  pula berkata, program itu  merupakan inisiatif UCTC dalam program transformasi luar bandar.

Katanya, ia untuk meningkatkan sosio ekonomi komuniti Long Semadoh melalui jualan kompos dan produk asas tani, serta memastikan kelestarian alam dan kebersihan kawasan sekitar sentiasa terpelihara melalui pemuliharaan bahan asli dan peningkatan sekuriti makanan masyarakat setempat.



Antara aktiviti yang dijalankan adalah pertandingan masakan antara kampung dengan tema Kerepek dan Jem. pertandingan mewarna kanak-kanak dan penyampaian Insentif Pusat Pengkomposan kepada kampung-kampung yang terlibat.

Sehari sebelum majlis pra perasmian, kumpulan wanita di desa itu telah mengikuti latihan dan demonstrasi masakan nasi lemak dan lempeng sebagai aktiviti sampingan. – UPM


 


WXEZFAN~