| Universiti Putra Malaysia

Tukar program pengajian dua kali tidak patahkan semangat graduan untuk meraih kejayaan

Oleh: Faruq Irsyad Razali
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia

SERDANG, 21 Mac – Meskipun telah bertukar program pengajian sebanyak dua kali serta menjalani pengajian sehingga tujuh tahun, ia tidak mematahkan semangat graduan Bacelor Pendidikan (Sains Rumahtangga), Nor Ezrynna Ramsal Salleh untuk meraih kejayaan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45, hari ini.

Nor Ezrynna, 28, berkata pengalaman bertukar program pengajian sebanyak dua kali itu sememangnya tidak akan dilupakan kerana ianya merupakan satu perjalanan yang cukup mencabar bagi dirinya.

“Antara cabaran yang saya hadapi ialah apabila ramai rakan-rakan saya telah bergraduasi dan ini sedikit sebanyak membuat saya berasa insecure namun saya terus cekal dan kini berjaya menjadi salah seorang guru,” katanya.

Antara kenangan manis setelah menukar program pengajiannya, bakatnya semakin dilihat dan pernah mendapat pujian daripada Ketua Jabatan di fakultinya. Selain itu, kejayaan yang turut beliau banggakan adalah apabila berjaya untuk berkhidmat sebagai seorang guru sebelum berlangsungnya konvokesyen.

Tips kejayaan yang dikongsikan oleh anak kelahiran Pontian, Johor itu menyatakan bahawa sokongan ibu bapa beliau telah mendorong beliau untuk menghabiskan pengajian biarpun pada mulanya beliau ingin berhenti daripada UPM.

“Sentiasalah berbuat baik kepada ibu bapa dan utamakanlah mereka kerana merekalah tunjang utama kehidupan insya-Allah hidup akan dipermudahkan,” katanya.

Seiring dengan pekerjaan sebagai seorang guru, Nor Ezrynna ingin terus membantu para pelajarnya untuk menggilap potensi diri bagi mencapai kejayaan dan pengalaman beliau dijadikan inspirasi bahawa tiada yang mustahil dalam mengejar kejayaan.

“Nasihat saya kepada para pelajar universiti kita tidak boleh berputus asa dan terus bangkit meskipun banyak menghadapi kegagalan,” katanya. – UPM

WXDcXA5~