| Universiti Putra Malaysia

Tujuh ikhtiar Naratif Naib Canselor UPM 2023 akan terus memacu kecemerlangan bidang pertanian dan keterjaminan makanan negara

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto oleh: Sabri Omar  

SERDANG, 15 Feb - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman memperkenalkan tujuh ikhtiar dalam Naratif Naib Canselor 2023 dalam memacu kecemerlangan UPM untuk bidang pertanian dan keterjaminan makanan negara.

Dato’ Prof. Dr. Mohd. Roslan berkata, UPM akan terus memacu kecemerlangan bidang pertanian dan keterjaminan makanan untuk membantu kerajaan menangani krisis ketidakcukupan makanan negara. UPM akan memainkan peranan yang penting dengan menghasilkan produk pertanian yang boleh dikomersialkan serta membantu masyarakat.

“Naratif kali ini adalah senada dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada sistem pendidikan tinggi negara melalui tujuh Ikhtiar yang telah digariskan.

“Adalah iltizam saya untuk membawa UPM lebih gemilang dan saya percaya masih ada ruang usaha pemantapan strategi dan perlaksanaan yang boleh dilakukan untuk menjadikan UPM sebuah Menara Ilmu yang diyakini masyarakat,” katanya.

Pertama, Memperteguh Sumbangan Dalam Pertanian Dan Keterjaminan Makanan melalui penawaran program akademik meliputi 31 program sarjana muda, 14 program master secara kerja kursus dan 194 bidang pengajian pasca siswazah berkaitan pertanian, pertanian pintar dan Internet benda (IoT) yang merentasi disiplin ilmu.

“Kita percaya bagi memperkukuh lagi keupayaan UPM dalam pertanian dan keterjaminan makanan, pendekatan merentas disiplin ilmu sangatlah penting. Sayugia diingatkan, pertanian bukan lagi hanya berkisar tentang penanaman, penternakan mahupun perikanan,” katanya.

Kedua, Menjajarkan Penyelidikan Dan Jaringan Ke Arah Inovasi Sosial yang boleh menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serta memenuhi keperluan dan aspirasi nasional. Penghasilan penyelidikan mestilah memberi manfaat dan berupaya dikomersialkan demi kemandirian universiti di samping membumikan hasil penyelidikan untuk maslahat masyarakat.

“UPM mempunyai begitu banyak hasil penyelidikan dan ia tidak seharusnya terhenti dalam penerbitan jurnal dan laporan. Kita perlu berperanan mewujudkan program yang kuat dan kukuh kepada masyarakat melalui program keusahawanan sosial dan inovasi sosial,” katanya.

Ketiga, Menjulang Pemerkasaan Mahasiswa dengan memberikan mereka lebih banyak kepercayaan, tanggungjawab dan amanah, merancang dan mengikuti program mobiliti antarabangsa sekurang-kurang sekali sepanjang pengajian serta memperkemas perkhidmatan kebajikan mahasiswa kategori B40 dan asnaf. Selain itu, bagi melahirkan pelajar sosok warganegara baik, UPM akan memperkasakan pendidikan politik dan usaha ini akan digerakkan oleh Unit Literasi dan Advokasi Politik (ADVOKASI), Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) bersama Fakulti Ekologi Manusia (FEM) dan HEPA.

“UPM mahukan graduan UPM mempunyai perspektif yang meluas dan berfikiran global. Saya percaya pengalaman pengantarabangsaan ini akan memberi peluang untuk pelajar membuka persepsi dan sudut pandang serta meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi dan membentuk jaringan keserakanan,” ujar beliau.

Keempat, Memperkemas Strategi Hijau Dan Tadbir Urus Yang Baik melalui pengurusan data universiti bagi proses membuat keputusan berasaskan bukti yang mampu mengekalkan status UPM sebagai universiti paling lestari dalam negara. Selain itu, inisiatif pengurusan bakat profesional dan kepimpinan pegawai akademik terus diperluas melalui usaha sama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan penjenamaan Pusat Pembangunan Akademik dan Kecemerlangan Kepemimpinan (CADe-Lead).

Kelima, Memperhebat Pendigitalan Kampus untuk memastikan UPM bingkas mengurus pelbagai perubahan dan teknologi dengan menilai kesan dan strategi menggunakan teknologi dalam pengajaran, pembelajaran dan tatakelola akademik dan pengantarabangsaan dengan menyediakan perkhidmatan capaian Internet yang mencukupi, stabil dan selamat. UPM turut membuka perkhidmatan perpustakaan kepada orang awam melalui kolaborasi strategik dengan pihak sekolah sebagai tanggungjawab sosial universiti.

Keenam, Mengupaya Penjanaan Pendapatan untuk mengurangkan kebergantungan kewangan UPM kepada geran kerajaan, UPM menyokong segala usaha penjanaan untuk menampung keperluan operasi melalui inisiatif modal awalan serta menggerakkan entiti di bawah UPM seperti Pusat Penerbit, Putra Business School (PBS), Hospital Veterinar (UVH), dan Hospital Pengajar UPM (HPUPM) menjana pendapatan.

“Agenda penjanaan pendapatan masih kekal relevan   sebagai agenda utama universiti dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada geran kerajaan,” katanya.

Ketujuh, Menyatu Kekuatan Alumni yang dapat membantu kepada kelangsungan universiti melalui sumbangan mereka dalam pelbagai bentuk. ‘Jambatan’ kukuh bersama alumni yang diterajui Pusat Perhubungan Alumni akan terus dipelihara melalui usaha untuk berganding bahu dan mendukung citra universiti ke mercu kejayaan melalui program-program yang dianjurkan.

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, bagi tahun 2023, UPM akan mengangkat slogan ‘Eratkan Kerjasama Sesama Alumni’ sebagai katalis dalam usaha meningkatkan impak hubungan antara alumni, pelajar dan alma mater,” ujar beliau.

“Adalah iltizam saya untuk membawa UPM lebih gemilang dan saya percaya masih ada ruang usaha pemantapan strategi dan perlaksanaan yang boleh dilakukan untuk menjadikan UPM sebuah Menara Ilmu yang diyakini masyarakat,” katanya.

Selain itu, Pelancaran Manusla Pengurusan Majlis iaitu Manual Pengurusan Majlis Edisi 2022 untuk dijadikan panduan kepada setiap pegawai penyelaras pengurusan majlis dalam menguruskan majlis serta acara di peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ), UPM.

Turut dilancarkan, Buku Advokasi Awam dan Inisiatif Aplikasi Mobile Smart PUTRA®Q, Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi dan E-Sistem Pengurusan MOU Putra Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM.

Sementara itu, penyampaian Anugerah Visibiliti Media UPM 2022 turut diadakan bagi mengiktiraf serta memberi penghargaan kepada individu dan juga PTJ yang telah banyak menyumbang kepada visibiliti UPM di media massa bagi tahun 2022.

Majlis Naratif Naib Canselor ini adalah acara tahunan UPM dan pada tahun ini merupakan tahun ketiga perlaksanaan dalam tempoh pentadbiran Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman sebagai Naib Canselor UPM.

Majlis ini turut menjadi platform komunikasi utama antara Naib Canselor dan seluruh warga UPM bagi menyampaikan pencapaian semasa dan juga perancangan serta hasrat dalam memacu universiti ke arah kecemerlangan bagi tahun ini.  – UPM

WXETNA7~