| Universiti Putra Malaysia

Tuanku Canselor yakin UPM mampu melahirkan graduan usahawan tani

Oleh: Noor Eszereen Juferi

BINTULU, 1 November – Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah yakin UPM Kampus Bintulu (UPMKB) mampu melahirkan graduan usahawan tani bagi memastikan bekalan makanan industri agromakanan stabil di negara.

Baginda bertitah sebagai universiti berteraskan pertanian UPMKB dapat melaksanakan penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi dan menyumbang kepakaran ilmu ke arah kemakmuran wilayah Sarawak.

“Beta yakin dengan kepakaran dan sumber kemudahan yang dimiliki oleh UPMKB sebagai Universiti Penyelidikan utama negara, universiti mampu melahirkan graduan yang memberi impak lebih besar terhadap pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen ke-46 Sidang 1 UPMKB di Dewan Sri Kenyalang, UPMKB di sini.

Sehubungan itu baginda berharap sebagai universiti yang berada di tengah-tengah Borneo akan dapat meluaskan fungsi dan peranannya lebih besar dengan mewujudkan jaringan antara universiti yang berada di kepulauan ini.

Baginda juga difahamkan UPMKB telah banyak melakukan kerjasama strategik untuk penyelidikan yang berimpak tinggi dengan agensi-agensi kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Sarawak.

Antara pencapaiannya ialah peruntukan RM2.54 juta oleh Kerajaaan Negreri Sarawak bagi penubuhan Kursi Tok Nan dalam memacu usaha penyelidikan yang berterusan dan mempertahankan identiti unik serta kekayaan warisan budaya Pribumi Borneo.

UPMKB juga bersama Jabatan Hutan Sarawak telah mencapai persefahaman dengan mewujudkan Hab Penyelidikan Hutan Sarawak dengan peruntukan dana sebanyak RM 10.95 juta dan Projek Pemulihan Hutan di tapak seluas 47.5 hektar di UPMKB.

Pada Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 1 yang julung kali diadakan di UPMKB, Sultan Sharafudin menggesa para graduan untuk menyumbang kepada UPM, sebagai tanda syukur atas pengorbanan yang dicurahkan oleh warga universiti dalam menzahirkan kejayaan graduan pada hari ini.

Baginda bertitah kepada graduan menterjemahkan slogan “Daripada Alumni kepada UPM” sebagai sumbangan untuk bersama-sama membawa UPM ke mercu kejayaan sebagai Alumni Chapter Borneo.

Tuanku Canselor UPM turut gembira dengan ranking UPM berada di tangga 123 dalam penarafan QS World University Ranking pada tahun 2023 dan kejayaan ini merupakan lonjakan 20 anak tangga yang signifikan. - UPM

SXEUQA~