TPU Mampu Terus Berkembang, Jana Pendapatan, Kata Prof. Dr. Wahid | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » TPU mampu terus berkembang, jana pendapatan, kata Prof. Dr. Wahid

TPU mampu terus berkembang, jana pendapatan, kata Prof. Dr. Wahid

Oleh Azman Zakaria



SERDANG, 19 Jan 2015 (UPM) - Kekuatan staf, jentera dan peralatan digabung jalinkan oleh Prof. Dr. Abd Wahid Haron dalam memacu Taman Pertanian Universiti (TPU) sepanjang tiga tahun beliau mengetuai TPU dengan fokus kepada elemen penjanaan pendapatan sebagai peranan tambahan TPU.

Beliau yang memegang jawatan Pengarah TPU Universiti Putra Malaysia (UPM) dari Januari 2012 hingga 31 Disember 2014 menerapkan elemen baharu itu sebagai tambahan terhadap penumpuan asal TPU iaitu memberi perkhidmatan, kemudahan pertanian dan latihan.   

Katanya, kutipan buah kelapa sawit sebelum ini dilakukan secara kontrak tetapi mulai 2014 staf mengambil inisiatif mengambil dan menghantarnya terus ke kilang, sekali gus memberi pulangan pendapatan lebih tinggi.



Prof. Dr. Abd Wahid, kini pensyarah di Fakulti Perubatan Veterinar berkata untuk dua tahun berturut-turut ‘pesta rambutan’ diadakan dengan bermula secara kecil-kecilan pada 2013 sebelum diadakan dalam skala lebih besar pada 2014.

“Pengunjung dapat merasakan pengalaman memetik sendiri buah rambutan. Ada yang memanjat pokok dan memetik buahnya, dan merasai keseronokannya.

“Mereka berkata ‘jika setakat nak makan rambutan, boleh beli di pasar raya tapi di sini dapat rasai pengalaman memetik dan menikmatinya dalam suasana persekitaran dusun’. Sambutan yang diterima menyebabkan tempoh ‘pesta rambutan’ itu yang dirancang dua hari dilanjutkan kepada lima hari pada tahun lalu,” katanya.

Bimbangkan lambakan ketika musim buah-buahan, katanya, TPU turut bekerjasama dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan menghasilkan kordial dan jem rambutan.

Bagi kawasan ladang kongsi yang tiada aktiviti ketika pelajar cuti hujung semester pula, katanya, staf mengusahakan tanaman kontan seperti pisang dan jagung untuk memastikan tanah berkenaan tidak terbiar.

Menurut Dr Abd Wahid, beliau turut memberi fokus kepada penanaman semula di kawasan pokok yang sudah tua, seperti bekerjasama dengan Fakulti Pertanian melakukan penanaman semula pokok kelapa sawit tiga tahun lalu di kawasan sekitar Dewan Bankuet.

Selain itu, penanaman semula durian dibuat di kawasan berhampiran kawasan kolej bagi menggantikan pokok yang sudah mencapai usia lebih 30 tahun, dengan menanam klon durian bernilai komersil seperti ‘Musang King’.

 Beliau berkata di Ladang Puchong pula, terdapat banyak klon mangga tetapi yang tidak bernilai komersil dan tidak pernah berbuah. “Selepas usaha pendebungaan, ia lebat berbuah. Meskipun tidak bernilai komersil, pokok-pokok ini penting sebagai bahan penyelidikan, koleksi dan untuk kacukan.”    

Melalui kerjasama dengan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan pula katanya, penghasilan produk berasaskan buah seperti jeruk buah pala, betik dan kedondong diusahakan. Terdapat 60 pokok buah pala di Bukit Ekspo.

 Dr Abd Wahid berkata bagi ternakan dan haiwan, iaitu lembu tenusu, lembu pedagang, kambing dan rusa pula, sistem ‘silaj’ diperluaskan akhir tahun 2012 dalam usaha meningkatkan kualiti rumput iaitu sumber manakan haiwan berkenaan terutama untuk masa kecemasan seperti ketika kemarau.

Kaedah ‘potong dan angkut’ dilakukan dan haiwan tidak dibenarkan masuk ke kawasan tanaman rumput itu.

Selepas tiga tahun menerajui TPU, beliau mahu melihat TPU berkembang lebih maju. “Kawasan UPM khususnya di TPU boleh dijadikan kawasan rekreasi seperti untuk aktiviti berbasikal.”

Katanya, terdapat banyak kawasan yang boleh dijadikan trek berbasikal. “Di samping pengunjung boleh membabitkan diri dalam aktiviti riadah, kita boleh menyelitkan ilmu untuk mereka. Sambil menaiki basikal, mereka boleh mengetahui nama-nama saintifik pokok berdasarkan tag nama yang kita letakkan di pokok.”

Bagi tanaman industri pula, katanya, usaha penanaman semula bagi menggantikan pokok kelapa sawit dan getah yang tua perlu dilakukan seperti di kawasan belakang Institut Bio Sains. - UPM


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1566535881