| Universiti Putra Malaysia

Tiga pensyarah UPM menang Anugerah Akademik Negara 2011 & 2012

Oleh Syifarida Muhamad Zaki
Photo oleh Marina Ismail


Dari kiri: Prof. Dr. Mohd Adzir Mahdi, Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo, Prof. Datuk Dr. Mohd Fauzi Hj. Ramlan dan Dr. Joanne Yeoh Pei Sze


Putrajaya, 21 Ogos (UPM)  -  Universiti Putra Malaysia berjaya meraih tiga anugerah di Anugerah Akademik Negara (AAN) 2011 & 2012 yang telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin di Hotel Marriott, Putrajaya, malam tadi.

Anugerah tahunan anjuran Kementerian Pendidikan  itu merupakan pengiktirafan tertinggi pihak kerajaan kepada ahli akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam bidang masing-masing yang telah memberi sumbangan yang tinggi dan cemerlang kepada perkembangan pendidikan dan pembangunan negara.

Pensyarah UPM yang telah menerima anugerah itu ialah:

*  Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar (Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk)

* Prof. Dr. Mohd Adzir Mahdi, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Kejuruteraan ( Anugerah Ahli Akademik Harapan), dan

* Dr. Joanne Yeoh Pei Sze, Ketua Jabatan Muzik Fakulti Ekologi Manusia (Anugerah Seni Dan Kreativiti - Kelompok Seni Persembahan)



Sementara itu, mantan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latif Ibrahim yang kini berkhidmat dengan Universiti Industri Selangor,    merupakan salah seorang daripada tiga penerima anugerah tertinggi AAN 2011 & 2012 iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara 2012.

UPM telah menganugerahkan status Professor Emeritus semasa persaraan beliau di atas kejayaan selama sepuluh tahun sebagai Dekan di Fakulti Perubatan Veterinar, UPM yang telah membawa pengiktirafan di peringkat antarabangsa berkenaan pengajian sains veterinar di Malaysia dan pernah menjalankan penyelidikan untuk membangunkan Vaksin Sampar Ayam.

Beliau membawa pulang wang tunai RM200 ribu, trofi dan sijil.

Tujuh Anugerah yang dipertandingkan dalam AAN2011 & 2012 iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi Dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.



Dr. Joanne Yeoh Pei Sze, Ketua Jabatan Muzik Fakulti Ekologi Manusia UPM  telah dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Seni Dan Kreativiti (Kelompok Seni Persembahan) 2012 .

Beliau terkenal sebagai seorang pemain biola secara solo mempunyai unsur inovasi dan tradisional dalam muzik yang dimainkan dan merupakan ahli akademik perintis dalam bidang muzik instrumental kontemporari.

Persembahan beliau dilihat dapat memukau penonton dengan gesekan biola Mathias Thir 1775 meletakkan beliau sebagai salah seorang pemuzik bertaraf dunia.

Komen Dr Yeoh selepas acara:

Saya sangat berterima kasih kerana ANN telah mengiktirafkan kelompok seni persembahan sebagai satu bidang pengajian akademik. Anugerah ini melambang pencapaian oleh ahli muzik saya yang telah mendahului saya dalam menerokai  pengajian muzik di institusi pengajian tinggi.

“Akhir kata, saya juga harap penghargaan AAN ini akan menggalakkan semua ahli muzik di Malaysia supaya berusaha dengan gigih bagi memajukan bidang muzik negara.”                                                                                                           













Sementara itu, dua lagi ahli akademik UPM berjaya meraih anugerah dalam ANN 2011 iaitu Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo dari Fakulti Perubatan Veterinar, UPM (Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk) dan Prof. Dr. Mohd Adzir Mahdi, Fakulti Kejuruteraan, UPM (Anugerah Ahli Akademik Harapan).



Pengiktirafan Prof. Dr. Mohd Hair bin Bejo yang komited dan aktif dalam pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional kerap dilantik sebagai pemeriksa tesis PhD dan Masters serta penilaian projek penyelidikan.  Beliau juga menjadi ketua kepada 12 projek penyelidikan, 20 sebagai ahli dan terlibat secara aktif dalam 10 projek lagi bersama pihak industri.

Produk yang berjaya dikomersialkan oleh beliau pada September 2005 iaitu  MyVAC UPM93 IBD Vaksin telah dipasarkan dan telah memenangi dua anugerah iaitu Anugerah Penyelidikan Cemerlang UPM 2005 dan Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Sektor Awam Dengan Sektor Swasta 2008.

Antara lima produk beliau yang lain iaitu tiga kit ELISA dan dua Vaksin kini dalam proses perbincangan dengan rakan kongsi dari industri  untuk pengkomersialan serta satu projek penyelidikan TechnoFund  berjumlah RM2 juta untuk pembangunan dan pengkomersialan produk baharunya iaitu Novel ECA Products.



Manakala Prof. Dr. Mohd Adzir Mahdi telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan membolehkan beliau dilantik sebagai Profesor di UPM seawal usia 36 tahun.

Hasil kepakaran beliau dalam bidang fotonik telah menggesa beliau dipilih menjadi pemeriksa artikel oleh 13 jurnal ISI.  Beliau turut dianugerahkan dua paten, manakala tujuh idea telah difailkan.  Lebih membanggakan, salah satu produk yang dibangunkan iaitu Band Optical Amplifier  telah digunakan oleh dua syarikat rangkaian optic Amerika Syarikat.

Masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM50 ribu, trofi dan sijil.

 Komen Prof Adzir selepas acara:

“Usaha MOE dalam memartabatkan kecemerlangan akademik dengan penganugerahan berprestij kepada ahli akademik adalah merupakan usaha yang sangat murni dan perlu diteruskan sehingga sejauh mana yang boleh.

“Sebagai salah seorang pemenang, penganugerahan ini merupakan pemangkin kepada diri saya dan juga rakan-rakan sejawat yang lain untuk terus memberi sumbangan kepada bangsa dan negara.”
                                                                                                              



Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj.Mohd Yassin  berkata masa depan dan kejayaan Malaysia bergantung kepada usaha menyediakan modal insan unggul yang dilahirkan oleh Institusi Pengajian Tinggi.

“AAN dilihat dapat menaikkan martabat akademia seterusnya menjadi role model atau contoh teladan dan mewujudkan persaingan secara sihat untuk mencapai tahap negara maju yang berpendapatan tinggi.

“Matlamat anugerah ini sejajar dengan peranan sektor pengajian tinggi sebagai penyumbang utama yang menggerakkan transformasi kerajaan serta menjana ekonomi Negara bagi menyokong Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

Kategori penganugerahan Penganjuran AAN 2011 & 2012 kali ke tujuh itu meningkat kepada tujuh kategori berbanding enam kategori AAN yang dipertandingkan sebelumnya  dilihat dapat membentuk talent pool dan mengekalkan bakat demi menjana pembangunan modal insan Negara serta menonjolkan peranan ahli akademik kepada masyarakat. – UPM

-smz/kgo


SXDdUA1~