| Universiti Putra Malaysia

Tiga pelajar UPM muncul naib juara pertandingan kitar semula beg debunga

Oleh Kuah Guan Oo
Gambar oleh Marina Ismail & Noor Azreen Awang


Dari kiri Goh Han Lin, Woon Xian Yang, Teh Jun Xiong


SERDANG, 17 Sept (UPM) – Tiga pelajar kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul naib juara dalam satu pertandingan kitar semula beg pendebungaan sebuah syarikat British dan diberi peluang merangka satu rancangan perniagaan untuk produk-produk baru dibiayai oleh syarikat itu.

Ketiga-tiga mereka, Goh Han Lin, 21, dari Kuching, Woon Xian Yang, 23, dari  Kluang dan Teh Jun Xiong, 23, dari Pulau Pinang, semuanya pelajar tahun akhir kejuruteraan mekanikal, mengetahui mengenai pertandingan bagaimana mengitar semula beg pendebungaan PBS International, sebuah syarikat UK, daripada pensyarah-penyelia mereka, Dr  Norkhairunnisa Mazlan, seorang pensyarah kanan/penyelidik dengan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan UPM.

Cadangan mereka menggunakan semula beg-beg pendebungaan sebagai beg menanam benih untuk pokok menjadikan mereka satu daripada dua naib juara pertandingan itu yang dimenangi oleh seorang pelajar daripada Universiti Loughborough (UK) yang mencadangkan beg-beg PBS itu digunakan sebagai bahan membuat genting bagi orang kurang bernasib baik yang tinggal di kawasan setinggan.


Goh Han Lin


Menurut laman sesawang PBS, satu lagi naib juara adalah seorang pelajar Universiti Nasional Singapura yang mencadangkan menggunakan semula beg berkenaan sebagai beg membuat kompos menggunakan cacing.

Dalam laman sesawangnya, PBS menyatakan ia adalah pakar dalam membuat beg pendebungaan diperbuat daripada bahan direka khas digelar  duraweb.   Ia menerima penyertaan untuk pertandingan itu daripada lebih 20 universiti serata dunia dengan penyertaan dari UK, Perancis, Singapura dan Malaysia.

Pelajar-pelajar UPM itu menerima hadiah 500 pound dan sedang menunggu sijil kemenangan mereka.

Mereka memberitahu idea menggunakan semula beg berkenaan sebagai beg menanam benih timbul berikutan perbincangan di kalangan mereka apatah lagi adalah cara lebih praktikal.


Woon Xian Yang


Memandangkan beg-beg pendebungaan itu tidak terdapat di Malaysia, PBS telah menghantarnya dengan mel membolehkan tiga pelajar itu membuat eksperimen dan menguji penggunaan beg berkenaan lantas menyerahkan cadangan mereka sebelum tarikh tamat penyertaan iaitu 31 Mei.

Dalam cadangan mereka, pelajar-pelajar terbabit menunjukkan bagaimana beg pendebungaan boleh dibersihkan dan digunakan semula sebagai beg menanam benih pokok, dengan anggaran ia menelan belanja lebih 1 pound sebuah.

PBS telah menawarkan untuk membiayai cadangan perniagaan tiga pelajar itu jika syarikat berkenaan mendapati ia adalah satu bisnes yang boleh menguntungkan.


Teh Jun Xiong


Dr Norkhairunnisa, seorang pakar nanoteknologi yang bangga dengan pencapaian pelajar beliau, berkata adalah amat baik untuk pelajar-pelajar itu mula belajar bagaimana hendak merangka rancangan perniagaan.

“Syarikat itu tidak mendesak agar kami merangka rancangan perniagaan dengan mereka, ia cuma satu idea sama ada kami mahu bekerjasama dengan mereka.

“Bagi saya, saya memberi kebebasan kepada pelajar terbabit sama ada mereka mahu meneruskan idea itu atau tidak,” kata beliau sambil menambah beliau mungkin meminta bantuan daripada Putra Science Park, agensi universiti yang bertanggungjawab dalam mengkomersialkan produk dan perkhidmatan UPM.– UPM


Dr Norkhairunnisa, pakar nanoteknologi UPM


- kgo


SXEYLAK~