| Universiti Putra Malaysia

Tiga pelajar UPM cipta inovasi produk kad permainan bahasa Inggeris, juara Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Sabri Omar
 
 
SERDANG, 5 November - Universiti Putra Malaysia (UPM) menang berganda setelah muncul juara Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi dan pemenang Anugerah Khas Business Model Canvas (BM) Terbaik sekaligus membawa pulang geran perniagaan secara keseluruhan berjumlah RM33,000 dan piala iringan.
 
Naib Cancelor UPM, YH. Dato. Prof. Dr Roslan Sulaiman berkata, beliau berbangga UPM muncul sebagai juara pada Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi dan pemenang Anugerah Khas Business Model Canvas (BM) Terbaik dengan menyediakan penyelesaian inovatif untuk mempercepatkan agenda transformasi digital.
 
“Saya sangat berbangga dengan pencapaiaan yang dikecapi dan berharap dengan usaha ini dapat membantu semua pelajar sekolah untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah dan senang untuk difahami,” katanya.
 
UPM yang diwakili oleh 3 orang pelajar iaitu pelajar daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Hoh Jia Da, Heon Hi Teng, dan pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan, Hairul Faizi Hairulnizam dengan produk inovasi, kad permainan pendidikan Edulab Zing ini menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan untuk pelajar dari semua latar belakang sosio-ekonomi.
 
Pasukan yang dibimbing oleh Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM, Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali telah membentangkan idea berkonsepkan perusahaan sosial yang bertujuan untuk mengurangkan jurang Pendidikan di Malaysia dengan menginovasi cara baharu pembelajaran dan mempraktikkan bahasa Inggeris dengan permainan.
 
Ketua Pasukan, pelajar tahun akhir Fakulti Sains Komputer, Hoh Jia Da menyatakan bukan mudah untuk menjadi juara kerana ianya bukan sebuah pencapaiaan yang mudah dan mendapat sokongan daripada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) yang sentiasa membantu dan menyediakan keperluan sepanjang kami mengikuti pertandingan ini.
 
“Geran perniagaan yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan pemasaran produk Edulab Zing serta menganjurkan lebih banyak bengkel bahasa Inggeris untuk pelajar B40 di kawasan luar bandar.
 
“Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah semakin merosot sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, kami cuba menghasilkan satu produk inovasi agar dapat menarik minat pelajar dan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing,” katanya.
 
Pertandingan bertemakan “Inovasi Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Hadapan” adalah seiring dengan perkembangan dan keperluan masa kini di mana inovasi dalam kehidupan perlu diterapkan bagi memenuhi cabaran globalisasi kelak. Sebanyak 62 kumpulan daripada 47 Insititusi Pendidikan Tinggi (IPTA/IPTS/ Politeknik dan Kolej Komuniti) telah menyertai pertandingan tersebut bagi merebut gelaran juara.

WXEaAAy~