| Universiti Putra Malaysia

Tiga atlet wushu negara terima ijazah Master

Oleh Azman Zakaria
Foto Noor Azreen Awang



SERDANG, 26 Okt - Tiga atlet wushu negara – Loh Jack Chang, Chai Fong Wei, dan Diana Bong Siong Lin – menerima ijazah Master masing- masing, pada majlis kovokesyen di Universiti Putra Malaysia (UPM).  

Jack Chang pemenang pingat emas Kejohanan Wushu Dunia 2015 di Jakarta dan Fong Wei, pemenang pingat perak kejohanan sama, kedua-duanya dari Putra Business School masing-masing menerima ijazah Master Pentadbiran Perniagaan pada Majlis Kovokesyen ke-18 Program Kerjasama UPM-IPTS hari ini, manakala Diana Bong pemenang pingat emas Kejohanan Wushu Dunia 2013 menerima ijazah Master Komunikasi Korporat pada Majlis Konvokesyen ke-40 UPM, Sabtu lalu.

Jack Chang, 29, yang juga pemenang dua pingat emas Sukan SEA Laos 2009 dan Sukan SEA Singapura 2015 serta pemenang pingat emas di World Taijiquan Championship 2014 di China dan dua pingat emas di Poland 2016, berkata tiada jalan singkat untuk berjaya dalam kedua-dua bidang sukan serta akademik, secara serentak.

“Mesti bijak mengurus masa… sebagai atlet, kita akan terasa letih terutama ketika kejohanan,” kata atlet yang berasal dari Miri, Sarawak ini.

“Bantuan daripada pensyarah dan rakan-rakan kuliah amat penting,” katanya yang mengikuti latihan pada sebelah pagi dan petang  dari Isnin hingga Jumaat serta pagi Sabtu.

Katanya, beliau menghadiri kuliah selepas latihan pagi, dan pada tengahari, manakala mengulangkaji serta melakukan tugasan akademik pada sebelah malam.

“Saya bersyukur dapat mencapai apa yang saya cita-citakan… berjaya dalam akademik dan sukan,” katanya yang mensasarkan untuk memenangi emas pada Sukan SEA 2017.

Fong Wei, 28, yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Wushu Asia di Taiwan 2016, tiga pingat gangsa pada Kejohanan Wushu Dunia 2007, 2011 dan 2013, dua pingat gangsa pada Sukan SEA 2005 serta gangsa (sukan pertunjukan) ketika Sukan Olimpik Beijing 2008, berkata beliau memberi penumpuan sepenuhnya ketika kuliah.

“Ketika belajar, saya betul-betul fokus… tidak mendengar muzik dan tidak bermain dengan telefon bimbit.

“Sebahagian masa sudah digunakan untuk latihan dan bersukan, jadi kena betul-betul fokus ketika belajar,” kata atlet berasal dari Melaka ini.

Beliau yang mengumumkan bersara dari sukan itu akibat kecederaan kedua-dua lutut, mahu memilih kerjaya dalam bidang pengurusan selepas ini.     

Diana Bong, 31, dari Kuching, Sarawak pula berkata komiten perlu tinggi untuk berjaya dalam sukan dan akademik.

“Displin diri kena baik, jika tidak akan sukar untuk berjaya dalam kedua-dua bidang,” katanya yang kini mempersiapkan diri untuk Wushu World Cup, di China, November ini dan Sukan SEA 2017.

Beliau memenangi tiga pingat emas Sukan SEA 2007, 2009 dan 2013; gangsa Sukan Asia 2006; satu emas dan dua perak pada Kejohanan Wushu Asia 2013, dan gangsa (sukan pertunjukan) ketika Sukan Olimpik 2008.  - UPM   


SXDdGA~