| Universiti Putra Malaysia

Tidak munasabah ragui kualiti graduan hanya bersandarkan jumlah graduan

Oleh: Azman Zakaria

SERDANG, 19 Mac:  Tuanku Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa adalah tidak munasabah sekiranya ada pihak meragui kualiti graduan UPM hanya semata-mata bersandarkan jumlah graduan yang dihasilkan.

Baginda bertitah bahawa baginda yakin graduan yang dihasilkan oleh UPM merupakan graduan yang unggul dan berkualiti tinggi.

Titah baginda, mereka dibimbing oleh para pensyarah yang berintegriti melalui sistem akademik yang bertambah baik.

“UPM sentiasa memastikan semua graduannya berkualiti sebagaimana yang telah ditetapkan,” titah baginda pada Sesi 1, Majlis Konvokesyen ke-45 UPM,  di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.

Seramai  6,142 graduan terdiri daripada 484 penerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 1,611 Ijazah Master, 3,564 Bacelor dan 483 Diploma menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen selama enam hari itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada ibu bapa para graduan atas kejayaan anak-anak mereka, baginda turut berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan dengan memilih UPM sebagai destinasi pendidikan para graduan.

Baginda bertitah bahawa graduan harus bersyukur atas nikmat dan kelebihan yang dimiliki sebagai graduan UPM, dan menggesa mereka untuk terus meningkatkan martabat ibu bapa, keluarga dan negara ke peringkat lebih tinggi dengan ilmu yang dipelajari serta menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan berintegriti.

Titah baginda, peranan universiti bukan sahaja untuk menyediakan belia atau graduan yang dapat memenuhi pasaran kerja, tetapi juga melengkapkan graduan dengan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi individu yang aktif, bertanggungjawab, beradab, beramanah, dan menjunjung tinggi tatacara kehidupan insaniah.

“Kejayaan yang diraih bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga dari segi keperibadian diri graduan,” titah baginda.

Baginda berharap Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang dilancarkan Disember tahun lalu akan dapat memperkukuhkan kedudukan dan peranan UPM sebagai sebuah Menara Ilmu, seterusnya merencana masa depan UPM yang lebih gemilang.

Baginda bertitah pengurusan Universiti sentiasa melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan untuk mengangkat UPM sebagai sebuah menara ilmu melalui peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan profesional terhadap masyarakat.

Baginda juga bertitah meskipun impak COVID-19 sangat besar terhadap Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk UPM, universiti telah berusaha bersungguh-sungguh mengekang penularan pandemik itu dengan sebaik mungkin.

Titah baginda, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan dalam aspek pengurusan risiko, komunikasi krisis, pengajaran dan pembelajaran secara digital, inovasi, kebajikan pelajar dan khidmat nasihat awam.

“Usaha ini dilakukan demi keteguhan dan kelangsungan institusi agar UPM terus kukuh kekal sebagai sebuah Menara Ilmu yang sentiasa berdaya saing.  Dalam situasi kita masih berhadapan dengan impak penularan pandemik COVID-19, isu kesejahteraan ialah isu kritikal yang perlu ditangani bersama,” titah baginda.  - UPM

 

SXETWAb~