| Universiti Putra Malaysia

Tetamu nikmati masakan tradisional Pahang

Oleh Alex Ardiansyah

SERDANG, 20 Dis – Kira-kira 1,000 tetamu diraikan dengan jamuan masakan tradisional Pahang pada majlis Pesta Masakan Tradisional Pahang dan Majlis Muzium Warisan Melayu Bersama Media di sini.

Tetamu dihidangkan dengan masakan ikan Patin Buah dan patin biasa masak tempoyak, ikan gohok, baung dan jelawat, serta sambal hitam dari Jerantut, Pahang.

Program itu dianjurkan Muzium Warisan Melayu dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Turut hadir bekas Naib Canselor UPM yang juga Penaung Muzium Warisan Melayu Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzi Ramlan dan Tokoh Budaya Negeri Pahang, Dato’ Aripin Said.

Pengarah Muzium Warisan Melayu, Dr. Muhammad Pauzi Abd Latif berkata keempat-empat jenis ikan itu - ikan patin buah, gohok, baung dan jelawat – sukar didapati kerana perlu dicari di sungai yang dalam dan ketika air sedang pasang.

Sementara itu demo masakan tradisional Pahang turut diadakan oleh Azlan Zakarya dan Shafinaz Shefin.

Azlan turut memberikan cara membezakan antara ikan Patin Buah sungai dan sangkar iaitu rasa daging Patin Buah sungai lebih lemak dan lembut selepas dimasak.

Shafinaz pula menunjukan cara memasak ‘Sambal hitam pedas…merecikkk’ iaitu menggunakan bahan cili, ikan bilis dengan belimbing asam yang dimasak lama menggunakan api kayu. - UPM

WXETQA~