| Universiti Putra Malaysia

Terpaksa keluar dewan peperiksaan untuk susukan bayi

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 30 Okt – Menduduki dalam peperiksaan akhir (CE Exam) 20 hari selepas melahirkan anak kedua tatkala penumpuan fikiran juga terarah kepada anak yang dijaga oleh ahli keluarga di luar dewan peperiksaan, tidak menghalang Nur Hafisya Mad Ali untuk menggenggam Ijazah Master.

 

“Setiap setengah jam saya terpaksa keluar dari dewan peperiksaan untuk menyusukan anak saya Melissa Aisyah Heryzal, yang dijaga oleh ahli keluarga yang menunggu di luar dewan kerana pada waktu itu suami bertugas di luar daerah,” katanya.

 

Nur Hafisya, 31, ibu kepada dua orang anak memperoleh Master Komunikasi Korporat pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke- 42 di sini.

 

Katanya, beliau meneruskan pengajian ketika mengandung kerana mahu memastikan dapat menamatkan pengajian dan memperoleh master dalam tempoh waktunya (graduate on time).

 

Katanya, semasa beliau mengandung, ada yang tidak menyokong keputusan beliau untuk terus menyambung pengajian.

 

“Saya positif kan diri serta mengambil kata-kata itu sebagai cabaran untuk terus menamatkan pengajian dengan cemerlang,” katanya.

 

Suaminya Heryzal Jamari, 32, dan ahli keluarga serta mentuanya menyokong hasrat beliau untuk meneruskan pengajian ke peringkat master pada Februari 2016.

 

“Sebelum berkahwin saya berjanji dengan ibu bapa untuk menyambung pengajian ke peringkat Master. Apabila saya berkahwin dan memperoleh kerjaya serta pendapatan sendiri, saya yakin untuk memulakan pengajian saya di UPM,” katanya.

 

Nur Hafisya memilih mod Pengajian Jarak Jauh (PJJ) iaitu kelas dihujung minggu kerana mudah untuk beliau membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya.

 

“Pengurusan masa adalah amat penting dan pada setiap malam saya mendisplinkan diri memberi tumpuan untuk mengulangkaji serta melakukan tugasan yang ditetapkan oleh pensyarah,” katanya.

 

Beliau yang bertugas sebagai Penolong Pendaftar di Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Islam Malaysia Cyberjaya turut mendapat galakkan daripada Ketua Jabatan bagi menyambung pengajian.

 

“Istilah ‘wanita belajar akhirnya masuk ke dapur’ pada masa kini sudah kurang relevan kerana wanita adalah tulang belakang bagi membantu keluarga.

 

“Wanita pada masa kini perlu berilmu serta memantapkan diri, dan tidak boleh berputus asa mengejar cita-cita dengan syarat tidak mengabaikan rumah tangga kerana restu keluarga adalah penting untuk berjaya,” katanya. - UPM

SXDdUAg~