| Universiti Putra Malaysia

Tengku Permaisuri Selangor berkenan lancar buku ‘Magnificient Wild Flowers of Selangor State Park Semangko Forest Reserve’

Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Saleha Harun
 
 
PETALING JAYA, 8 Dis - Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyempurnakan pelancaran buku ‘Magnificient Wild Flowers of Selangor State Park Semangko Forest Reserve’ yang ditulis oleh Pensyarah Jabatan Biologi, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Rusea Go.
 
Penulisan buku ini merupakan hasil dari penerokaan beliau dan pelajar pascasiswazah UPM ke atas kepelbagaian flora di Taman Negeri Selangor, Hutan Simpan Ulu Semangko, yang sokongan padu dari Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sejak 2005.
 
Prof. Dr. Rusea berkata buku tersebut mempamerkan 349 spesis tumbuhan berbunga asli yang ada di Taman Negeri Selangor Hutan Simpan Ulu Semangko, yang juga dikenali sebagai Taman Negeri Selangor Bukit Fraser.
 
 
“Buku ini juga diharapkan akan membantu dalam meningkatkan kesedaran orang ramai agar terus menjaga serta meneroka kepelbagaian keunikan biodiversiti Malaysia. Saya juga akan meneruskan lagi penerokaan hutan yang belum diterokai dan menyelamat semua spesis tumbuhan epifit dari hutan terganggu terutamanya dari kawasan yang sedang dibalak, dengan harapan menemui spesis yang baharu setiap kali memasuki hutan,” katanya.
 
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Norashikin juga berkenan merasmikan Seminar Ekspedisi Saintifik Biodiversiti DiRaja Taman Negeri Selangor, Bukit Fraser, Selangor yang dianjurkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama UPM.
 
Penganjuran seminar ini adalah untuk membentangkan semua penemuan penyelidikan saintifik khususnya mengenai kepelbagaian orkid, tumbuhan hiasan, tumbuhan ubatan dan tumbuhan lain yang menarik yang telah ditemui sepanjang tempoh ekspedisi pada 26 sehingga 30 Ogos 2019. -UPM

SXETIA~