| Universiti Putra Malaysia

Teknologi tinggi, kreativiti boleh semarakkan kembali kegunaan buluh

Oleh Noor Eszereen Juferi & Kuah Guan Oo Foto oleh Marina Ismail

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan penganjuran forum dan Hari Reka Bentuk Buluh 2013


SERDANG, 23 Jan (UPM) – Buluh, bahan yang digunakan secara meluas untuk pelbagai tujuan di negara ini suatu ketika dulu, kini semakin dipinggirkan, kemungkinan kerana wujudnya persepsi bahawa ia tidak memenuhi selera masyarakat moden, tidak mengikut aliran fesyen dan ketinggalan dari segi jenama. Rumput gergasi yang mudah didapati di mana sahaja di Malaysia ini, seolah-olah dilupakan dan tersisih daripada budaya hidup masyarakat tempatan dan di negara Asia lain sejak lebih kurang lima dekad lepas.
 
Kenapa terjadi demikian dan di manakah silapnya?

Walaupun persoalan ini turut disedari para saintis dan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun mereka lebih berminat menumpukan perhatian serta fikiran untuk mencari teknologi dan inovasi untuk memperhebatkan kembali kegunaan buluh. Mereka mahu melihat buluh kembali digunakan secara meluas oleh masyarakat sekarang seperti yang dilakukan nenek moyang mereka dahulu, termasuk sebagai bahan untuk membina rumah, pagar serta menghasilkan perabot, katil, peralatan, senjata, perangkap, rakit dan alat muzik.

mesin pemotong buluh


Pada zaman sebelum merdeka, buluh memainkan peranan penting dalam kehidupan rakyat negara ini.

Para saintis berkenaan telah menyediakan rangka tindakan mereka berikutan penganjuran Forum dan Hari Reka Bentuk Buluh 2013 pada September tahun lepas ketika UPM merayakan Hari Buluh Sedunia Malaysia, kata Dr Mohammad Yazah Mat Raschid, Timbalan Dekan (Industri dan Pembangunan) Fakulti Reka Bentuk dan Senibina (FDA).

Forum dua hari itu bermula pada 13 Sept dengan tema “Futuristic Bamboo” dan tema ini mencerminkan dengan jelas pendekatan serta arah tuju saintis dan penyelidik terbabit dalam usaha mengembalikan kegemilangan budaya buluh seperti yang terdapat dalam kehidupan rakyat Malaysia suatu masa dahulu.

“Kami ingin meletakkan UPM dalam peta utama untuk menerajui inovasi dan kebangkitan semula buluh, yang merupakan bahan paling lestari serta mudah didapati di negara kita,” kata Dr Yazah, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur forum dan pameran tersebut.

Dr Mohammad Yazah Mat Raschid, Timbalan Dekan (Industri dan Pembangunan) Fakulti Reka Bentuk dan Senibina


Kisah buluh UPM Beliau berkata kisah buluh di UPM bermula apabila mereka diminta Yayasan Inovasi dan Keusahawanan Global (GIEF), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mencari jalan untuk menghidupkan kembali penggunaan rumput ajaib ini, yang telah dilakukan dengan jayanya oleh beberapa negara seperti Korea Selatan, Thailand dan China sejak lama dulu. GIEF, yang diasaskan dan dipengerusikan Dato’ Ghazi Sheikh Ramli, bekas senator dan ketua Umno bahagian Petaling Jaya, memaklumkan kepada mereka bagaimana negara tersebut menggunakan teknologi tinggi untuk memanfaatkan buluh, hingga membolehkan industri terbabit mencapai nilai US$11 bilion pada 2012.

Pada tahun sama, nilai eksport buluh Malaysia hanya berjumlah RM220,000. Melalui kerjasama dengan Lembaga Perusahaan Kayu Malaysia (LPKM) dan GIEF, UPM kemudian mengambil tanggungjawab untuk menganjurkan forum tersebut dan menyertai 43 negara lain untuk menyambut Hari Buluh Sedunia untuk julung kalinya di Malaysia.

Dr Yazah berkata Naib Canselor Prof Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan, juga seorang pakar buluh, memberi sokongan beliau terhadap usaha kumpulan tersebut, yang sekali gus membuka jalan kepada mereka untuk menghadiri Kongres Buluh Sedunia di Damyang, Korea Selatan pada 2015, di mana UPM akan melobi untuk menjadi tuan rumah kongres itu pada 2018. Mereka juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan GIEF, di mana NGO ini akan membantu mencari dana bagi UPM untuk menubuhkan sebuah Taman Eksploratori Buluh di perkarangan Fakulti Reka Bentuk dan Senibinanya di Serdang. Turut dirancang ialah lawatan 40 pelajar dan 15 pensyarah UPM ke Damyang pada 2015 untuk menyertai festival buluh bersempena Kongres Buluh Sedunia di Korea Selatan. Daerah Damyang negara itu dikenali ramai menggunakan buluh dalam segenap perkara.

“Kami juga sedang berbincang dengan GIEF dan LPKM tentang projek jangka pendek untuk mencetuskan kreativiti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti kita. “Bukanlah sesuatu yang mustahil Malaysia mampu mengeksport produk buluh hingga bernilai RM50 juta menjelang 2020,” kata Dr Yazah sambil menjelaskan bahawa para pakar UPM akan mengambil langkah bersifat pelbagai disiplin bagi memajukan industry buluh di negara ini.

Pada Ogos tahun lepas, sekumpulan penyelidik UPM memperkenalkan teknologi pemotongan “V-Grooving”, yang digunakan untuk meratakan buluh bagi dijadikan papan, lantai dan bahan gantian dalam industry berasaskan kayu.

Berucap pada majlis pelancaran teknologi itu, ketua kumpulan terbabit, Prof Madya Dr Edi Suhaimi Bakar, penyelidik daripada Fakulti Perhutanan, berkata inovasi berupa penggunaan sejenis mesin yang dicipta khas itu akan memberi manfaat besar kepada industri buluh. Pengeluaran buluh berlamina melalui kaedah “V-Grooving” untuk menghasilkan alur/lurah berbentuk ‘V” di bahagian luar buluh adalah lebih praktikal dalam proses meratakan bahan ini, berbanding kaedah yang digunakan sekarang, kata Dr Edi.

Ketua penyelidik Fakulti Perhutanan, UPM yang memperkenalkan teknologi pemotongan “V-Grooving” - Prof  Madya Dr Edi Suhaimi Bakar


Pendekatan serampang tiga mata Dr Yazah berkata mereka akan menggunakan pendekatan serampang tiga mata untuk mencipta semula kisah kegemilangan buluh di negara ini.

Langkah pertama katanya ialah mewujudkan kesedaran orang ramai tentang nasib buluh yang mengalami masalah persepsi apabila orang menganggap penggunaannya sebagai ketinggalan zaman dan tidak mengikuti fesyen terkini.

Beliau berkata pameran yang memperagakan perabot , bahan binaan dan sebagainya daripada buluh yang serba termoden, artistik dan dengan reka bentuk menarik juga boleh menarik kembali minat pelanggan. Menurut beliau ini bererti lebih banyak penyelidikan dan pembangunan tentang buluh perlu dilakukan dan peranan ini perlu dimainkan oleh universiti. Ini juga bererti saintis dan penyelidik perlu bekerjasama dengan universiti dan pihak luar, kata beliau.

Dr Yazah berkata pendekatan ketiga ialah mengadakan latihan dan mengkomersialkan buluh, di mana Pusat Transformasi Universiti-Komuniti (UCTC) UPM akan memainkan peranannya, selain sekolah vokasional dan pusat latihan kemahiran di negara ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah ketika merasmikan forum itu di UPM September lepas berkata beliau mendapati gandingan UPM-GIEF-LPKM amat menggalakkan dalam memberi nafas baharu kepada buluh sebagai bahan ikonik untuk menyokong agenda inovasi negara.

“Saya berpendapat inovasi teknologi dalam industri buluh mampu dimajukan dan kementerian saya akan menyokong semua usaha yang ditumpukan ke arah membawa inovasi ini ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau juga melihat wujudnya potensi untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti makanan organik yang menggunakan rebung buluh daripada kerjasama berkenaan.

“Saya nampak terdapat banyak peluang komersial yang belum dimanfaatkan. Buluh akan digunakan secara lebih meluas dalam pelbagai bidang, daripada industri makanan, pengangkutan, hinggalah kepada industri pembinaan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr Fauzi berkata melalui rangka kerja tindakan yang telah disusun, UPM akan diiktiraf sebagai pemangkin bagi pembangunan teknologi hijau berasaskan buluh dalam dunia reka bentuk dan senibina.

“Kerjasama ini akan ditingkatkan lagi melalui kegiatan bersama seperti program kesedaran, promosi dan kajian teknologi berasaskan inovasi hijau untuk masyarakat.

“Di samping itu, UPM akan menubuhkan Taman Eksplorasi Buluh untuk tujuan kajian, pembangunan dan inovasi produk berasaskan buluh,” katanya.

Terdapat lebih 400 spesies buluh di negara ini dan berpuluh daripadanya dikatakan mempunyai nilai komersial yang tinggi. – UPM

- nej/kgo/sp

WXDcWAM~