Tanpa Kaki Dan Tangan Yang Sempurna, Suhazli Tetap Berjaya Genggam Ijazah Sarjana | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tanpa kaki dan tangan yang sempurna, Suhazli tetap berjaya genggam ijazah sarjana

Tanpa kaki dan tangan yang sempurna, Suhazli tetap berjaya genggam ijazah sarjana

Oleh Azman Zakaria dan Nurul Amiraa Mohamed Rafic

 

SERDANG, 27 Okt: Meskipun berdepan kesukaran untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat tanpa kaki dan tangan yang sempurna, Suhazli Muhamad, 26, cekal dalam pelajaran sehingga berjaya memperoleh Ijazah Master Kejuruteraan Perisian pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-42, hari ini.

 

Suhazli, 26 dari Ketereh, Kelantan tidak pernah menjadikan kecacatan fizikalnya sebagai penghalang untuk menuntut ilmu dan berharap kejayaannya akan menyuntik semangat golongan orang kelainan upaya untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.


“Mak dukung saya sejak saya kecil hingga ke sekolah rendah. Guru suruh saya pergi sekolah khas, tapi saya tidak mahu sebab ingin terus bersekolah biasa.

 

“Demi membuktikan kekurangan fizikal bukanlah penghalang seseorang menimba ilmu, saya tekad berusaha dan berkorban masa serta tenaga semampu mungkin untuk memastikan diri ini setanding dengan individu normal yang lain,” katanya. 


Suhazli, anak bongsu daripada lapan adik beradik berkata dia hanya mula menggunakan kerusi roda semasa tingkatan satu di Ketereh dan mula belajar berdikari ketika berjauhan daripada keluarga semasa menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Tangkak, Johor.

 

“Saya juga mempunyai impian tinggi untuk menyarung jubah yang terserta dua jalur pada hari konvokesyen suatu hari nanti dan ternyata impian itu tercapai pada hari ini.


“Tidak berputus asa dalam apa jua perkara dan pembahagian masa yang teratur antara aktiviti dengan pelajaran adalah pegangan saya,” katanya.

Beliau berkata, cabaran banyak ditempuhnya, lebih-lebih lagi ketika berjauhan dengan keluarga.

 

“Tidak dinafikan kekurangan fizikal membataskan pergerakan kehidupan seharian tetapi kita mesti tabah berusaha mencabar diri demi mencapai cita-cita,” katanya yang kini bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak 10 bulan lalu.

 

Menurutnya, sepanjang pengajian di UPM, rakan-rakan banyak membantunya di asrama dan meluangkan masa mereka mengulangkaji pelajaran dengannya.


Beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada UPM atas perkhidmatan dan jasa baik memberi kemudahan pengangkutan van dari asrama ke fakulti setiap hari untuk memudahkan urusan kuliah. – UPM

Tarikh Input: 12/11/2018 | Kemaskini: 15/11/2018 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1568812714