Tanaman Padi Di Tanah Asid Sulfat Bakal Lonjak Pulangan Besar | Universiti Putra Malaysia
» BERITA » Tanaman padi di tanah asid sulfat bakal lonjak pulangan besar

Tanaman padi di tanah asid sulfat bakal lonjak pulangan besar

Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Noor Azreen Awang



SERDANG:  Ramai pesawah padi di kawasan tanah berasid sulfat terpaksa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kegiatan ekonomi itu kerana penat jerih mereka tidak berbaloi lantaran hasil tuaian padi yang amat sedikit.

Namun igauan ini bakal menjadi satu perkara silam. Tanah asid sulfat itu sebaliknya akan membawa pulangan besar kepada pengusahanya melalui  projek khas penanaman padi secara lestari di tanah asid sulfat.

Kawasan di Merbok, Kedah dijadikan tempat projek perintis melaksanakannya oleh penyelidik  daripada Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)  melalui Program Pemindahan Ilmu atau ‘ Knowledge Transfer Programme’ (KTP).





Projek lima tahun itu yang bermula pada 2011 itu dibiayai Kementerian Pendidikan dengan peruntukan hampir RM10 juta, dan kini pada peringkat akhir dengan matlamatnya agar petani memperoleh hasil tuaian yang lebih besar.

Pensyarah di Fakulti Pertanian UPM, Profesor Dr Shamshuddin Jusop yang mengetuai penyelidikan  itu berkata, ia dilaksanakan melalui Program Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) .

Beliau berkata tahap keasidan tanah akan dianalisis terlebih dahulu. Berdasarkan analisis itu, kapur dengan jumlah yang disyorkan akan ditabur di tanah berkenaan yang akan bertindak balas mengurangkan keasidan tanah, sebelum pembajakan dilakukan dan benih ditabur.

Katanya, berdasarkan hasil awal daripada projek yang sedang dijalankan, ia menunjukkan pengeluaran padi di kawasan tanah berasid sulfat boleh ditingkatkan, sekali gus meningkatkan pendapatan petani terbabit serta membantu meningkatkan keluaran padi negara.



“Pengeluaran beras negara dalam memenuhi keperluan rakyat amat mendesak kerana ketika ini Malaysia hanya berupaya mencapai 70 peratus sahaja. Masalah timbul kerana produktiviti padi tidak bertambah dengan ketara, tatkala kadar pertambahan penduduk pula adalah tinggi dengan mencapai 30 juta orang pada tahun 2014,” katanya.

Justeru, beliau berkata, tanah terbiar atau yang sedang mengalami degradasi perlu ditebus guna untuk penanaman padi, dengan penumpuan kepada tanah asid sulfat.

“Lebih 400,000 hektar tanah asid sulfat dikatakan wujud di negara ini, yang sebahagian besarnya boleh dimanfaatkan untuk tanaman padi,” katanya yang  memenangi ‘Malaysia Toray Science Award’ (MTSF) baru-baru ini berhubung  teknologi meningkatkan kualiti pengeluaran padi negara. Anugerah serta RM30,000 disampaikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin.

Profesor Dr Shamshuddin berkata, purata keluaran padi negara adalah 3.8 tan sehektar bagi semusim, dan sekiranya kawasan penanaman padi tanah asid sulfat dapat dilaksanakan, bermakna purata keluaran boleh ditingkatkan kepada 5 tan sehektar semusim, sekali gus keperluan terhadap beras negara boleh ditingkatkan kepada 80 peratus berbanding 70 peratus sekarang.




“Jika kita berjaya menyelesaikan masalah ini, bermakna kita boleh menyelamatkan dunia,” katanya.

Projek ini pernah dilaksanakan di Jelawat, Bachok, Kelantan membabitkan kawasan seluas satu hektar, yang menunjukkan hasil memberangsangkan, manakala projek kedua yang dilakukan di Semerak, Pasir Puteh, Kelantan musnah akibat banjir besar baru-baru ini dan perlu dibuat semula.

Katanya, pada April depan, program ini akan dilaksanakan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) membabitkan kawasan antara dua dan tiga hektar sebagai permulaan.

Kaedah penanaman padi secara lestari di tanah asid sulfat ini juga kemudian boleh diperkenalkan di kalangan negara ASEAN seperti di kawasan Delta Mekong dan Indonesia, pada ketika Malaysia pada tahun ini  menjadi pengerusi ASEAN.  --UPM

 


Tarikh Input: | Kemaskini: | amir_peli

PERKONGSIAN MEDIA

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
+603 8948 7273
B1569095299